Friday, January 30, 2015

Sesal dahulu pendapatan?

Isu ni mungkin dah lapuk. Tapi rasanya perlu tulis sikit. Sebagai luahan.

Baru diberitahu peribahasa ataupun pepatah "harapkan pagar, pagar makan padi" rupanya mungkin mengandungi kesalahan.

Peribahasa / pepatah lama bahasa Melayu ini dikhabarkan sebenarnya telah salah diterjemah daripada tulisan jawi.

Didakwa peribahasa yang betul adalah "harapkan pegar, pegar makan padi". Pegar dikatakan sejenis burung yang makan serangga perosak di laman padi. Tetapi burung ini turut menjadikan padi sebagai makanan.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengeluarkan kenyataan untuk mengekalkan peribahasa yang asal, iaitu pagar dan bukannya pegar.

Ada terbaca satu komen pembaca di satu laman blog yang menulis "Pagar mana boleh makan padi...pegar baru logik".

Kalau nak aplikasi logik, kena setara untuk semua keadaan. Tak boleh pilih logik untuk satu perkara, tapi abaikan perkara lain.

Adakah logik nak minta burung pegar yang makan padi untuk jaga padi?

Dan kemungkinan kesilapan semasa terjemahan tulisan jawi ke tulisan rumi, perlu diingat peribahasa tersebut telah lama bertapak di alam Melayu. Orang-orang dahulu sangat mahir dalam tulisan jawi, sangat rendah kemungkinan untuk terjadi salah terjemahan.

Melainkan peribahasa tersebut baru sahaja diterjemahkan, mungkin timbul kesilapan kerana orang-orang sekarang sudah kurang yang begitu mahir dalam terjemahan jawi. Tapi bukan ini yang terjadi.

Boleh jadi pagar dalam peribahasa tersebut merangkumi benda-benda yang bernyawa dan tidak bernyawa.

Pagar dalam bahasa Indonesia membawa makna sebarang penjaga, dalam lingkungan peribahasa ini membawa makna sebarang penjaga yang menjaga tanaman seperti padi.

Ini termasuk benda-benda hidup ataupun bukan hidup termasuklah manusia, haiwan ataupun besi, kayu, pancang.

Dan DBP turut memberi contoh pepatah lain yang sinonim maknanya, iaitu "harapkan pancing, pancing makan umpan".

Kalau dari segi logik, mana ada pancing makan umpan? Atau pancing dalam pepatah tersebut juga salah terjemahan dari tulisan jawi?

Jangan sewenang-wenang ubah pepatah yang sudah turun-temurun digunakan zaman-berzaman, melainkan ada justifikasi yang kuat untuk perubahan tersebut. Nenek moyang kita bukannya sesuka hati mencipta peribahasa karut untuk memberi nasihat.

Sebagai contoh, perkataan "batuk" dalam "bagai melepaskan batuk di tangga" rasanya ada justifikasi kukuh untuk ditukar kepada "batok". Tapi terpulang pada DBP untuk membuat sebarang perubahan. Setakat ini, DBP masih mengekalkan ejaan lama.

Ada peribahasa yang jelas salah dari segi tatabahasa, contohnya "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna". Apa makna sesal dahulu pendapatan? Tak ada makna dari segi istilah, dan salah di sisi tatabahasa, Tapi peribahasa ini tetap meluas digunakan kerana telah bertapak sejak turun-temurun.

Sama-sama kita jaga pusaka bahasa Melayu tinggalan nenek moyang kita sejak zaman-berzaman.