Friday, April 25, 2008

Suatu Petang-kala di Langkawi...


Masa aku imbas balik gambar-gambar kenangan aku di Langkawi, aku terpandang gambarfoto ni.

Membuatkan aku terimbas kembali suatu petang sebelum senjakala (petang-kala) di Langkawi dua tahun yang lalu...

Aku duduk atas satu kerusi plastik merah yang tersusun di luar CC (Cyber CafĂ©) berhadapan dengan Plaza Langkawi. Cuaca sangat baik hari tu…matahari dengan bebas memancarkan sinar surianya. Angin dengan tenang menyusur lalu sekali-sekala…membawa bersamanya bayu laut yang segar.

Dari kedudukan CC tu, aku dapat lihat ada satu pasangan sedang menuju ke arah aku. Bersama dengan seekor anjing yang kelihatan amat jinak.

Tak berapa lama, pasangan tu dah berdiri di depan aku. Si lelaki hendak menggunakan Internet, meninggalkan si wanita dengan sang anjing di luar kedai.

Anjing tu memang jinak…tak ubah seperti kucing di rumah aku. Tapi aku memang dari kecil lagi amat fobia dengan anjing…bukannya apa, aku malas nak samak. Aku menjarakkan diri dengan anjing tu…dan tindakan aku diperhatikan si wanita tadi.

Sambil menepuk manja belakang badan sang anjing, si wanita tadi menyuruh aku menyentuh sang anjing manja tadi. Merepek! Digigitnya aku nanti cash-cash aku dapat sindrom anjing gila nanti.

Mungkin terkilan dengan kelakuan aku yang sejak dari tadi menjauhkan diri seboleh mungkin dari sang anjing, si wanita tadi mula menggunakan ayat-ayat yang agak kasar.

Menurutnya, sang anjing jinak itu dibeli dari negara Senegal. Tambahnya lagi di Senegal, orang Islam bebas memegang anjing dengan tangan kosong tanpa ada sebarang perasaan takut pada halangan agama.

Aku jelaskan dengan baik, boleh untuk aku sentuh sang anjing jinak tu, asalkan tangan aku kering. Tapi aku sendiri kurang pasti tangan aku betul-betul kering atau tidak. Jadi untuk mengelakkan ketidakpastian, aku tak sentuh anjing tu. Sebab aku malas nak samak.

Tapi si wanita seakan kurang berpuas hati dengan jawapan aku. Dia terus-terusan memperlekehkan Islam…mengatakan orang Islam di Malaysia dan Indonesia amat "tertutup". Bukan saja "tertutup" dari segi pakaian, malah "tertutup" dari segi pemikiran.

Dan ayat terakhir yang diucapkannya…

"...Quran is stupid, you know. I can't understand the reason behind why the need to ban Muslims from touching dog..."

Aku cuma tersenyum sambil mendiamkan diri...

Setelah keadaan agak mereda, aku mula membuka bicara...

"Where are you from, miss?"

"I'm from Ukraine…but my husband came from Spain. We travelled a lot…and we both can speak Spanish…"

Jawabnya dengan suara yang agak tinggi. Baru aku faham, rupanya memang si wanita ni bersuara tinggi, bukannya dia sengaja meninggikan suara.

"I see…I hope to travel around the world too…like you…it's my childhood dream…"

"Go on and see the world for yourself! Don't just stay here doing nothing. How old are you now?"

"I'm almost 21…"

"What? You looked far younger than that. Still studying?"

"Yes…in university…majoring in Physics…"

"How it's going then?"

"It's a tough subject. I have to memorize a lot of formula's… E=mc2 here and there…and I studied Einstein's theory of General Relativity, Heisenberg uncertainty principle and so on…"

"Good"

"But one thing for sure, if I read a big book of Physics, be it Quantum Mechanics, nuclear physics or solid state physics, and come across a formula or concept that I couldn't understand, I never put the blame on the book…it's my own fault for not being able to understand it…"

Ayat terakhir aku menyebabkan si wanita tadi terdiam, dan dia memandang tepat ke arah aku.

Si lelaki keluar dari kedai pada masa yang sama. Aku bersalaman dengan si lelaki, yang sedari awal tadi tidak putus-putus tersenyum. Si lelaki amat berbeza berbanding si wanita…bercakap dengan nada yang amat lembut.

Mereka kemudian berbicara dalam bahasa yang langsung aku tak faham…sambil sekali-sekala si wanita menjeling ke arah aku. Tapi si lelaki cuma tersenyum.

Mereka datang semula sehari kemudian. Dan hari-hari kemudian yang seterusnya. Apa yang dapat aku katakan, kami menjadi kawan baik…bersama-sama Faisal dan Mat Sham yang pada masa itu belum menghilangkan diri.

Ada suatu hari, si lelaki ada suatu kejutan untuk diberitahu pada aku. Aku tertanya-tanya apa kejutan yang nak didedahkannya. Rupanya dia cuma nak beritahu yang Frank Ribery tu Islam…perkara yang dah aku tahu sebelum ni. Tambahnya lagi, Van Persie dan Anelka juga Islam. Aku tak berapa pasti mengenai Van Persie…tapi aku memang tahu Anelka orang Islam.

First Impression aku pada si wanita telah jauh berubah berbanding kali pertama kami berjumpa dulu. Bagi aku, dia seorang yang baik…cuma ke"terus-terangan"nya bila berbicara mengenai Islam mungkin dapat menyinggung perasaan sesetengah orang kita.

Tapi nasib baik dia dah jauh berubah.

Si wanita kerap mengulangi yang aku ni berlainan dari orang lain…apa yang lain aku sendiri pun tak tahu. Aku sama sahaja dengan orang lain. Makan nasi dan minat minum sirap macam orang lain. Selalu ponteng kuliah Dr Sohail secara bebas macam student lain. Repeat paper Dr Haslinda jugak sama macam student lain.

Tahun lepas, aku terserempak dengan si lelaki di pasar malam. Si wanita tengah sarat mengandung, terpaksa tinggal di bot. Aku berharap berjumpa dengan si wanita…dan si lelaki berjanji untuk bawa si wanita esok.

Tapi aku tak sempat jumpa…sebab aku sendiri kalut hendak pulang ke rumah pada hari yang sama. Aku harap dapat jumpa pasangan ni lagi di lain masa…

Tak lupa juga dengan sang anjing jinak tu…sekarang aku dah boleh duduk berhampiran dengan anjing tanpa ada fobia yang mengganggu. Aku dah tak risau kemungkinan kena gigit…walaupun aku masih risau kalau tiba-tiba digeselnya badannya pada aku, jenuh aku nak kena samak…….

Monday, April 21, 2008

Catatan Tunku Abdul Rahman

SEBELUM DAN SELEPAS 13 MEI : Dari Kacamata Tunku

Bahagian 2

Misalnya Pas telah menyebarkan fitnah dengan mengatakan saya seorang Siam, pada hal mereka tahu ayah saya ialah Almarhum Sultan Kedah. Mereka juga menuduh saya beragama Buddha, walhal mereka tahu banyak perkara kebajikan yang telah saya buat untuk agama Islam semenjak lepas Merdeka. Saya bukanlah seorang yang takbur, tetapi saya boleh mendakwa bahawa jasa saya kapada agama Islam adalah setanding dengan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin negara Islam yang lain di zaman moden ini.

Dalam kempen pilihan rayanya, Pas telah memburokkan peribadi pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka telah menyerang peribadi pemimpin UMNO secara kotor yang tidak mungkin sesapa pun tergamak melakukannya. Mereka tahu apa yang mereka katakan mengenai pemimpin UMNO termasu saya sendiri tidaklah benar, tetapi mereka pergi dari kampug ke kampung untuk melancarkan kempen yang bohong dengan tidak menghiraukan apa jua akibatnya atau pun apa yang mereka lakukan itu boleh memarakkan api permusuhan antara kaum. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi asalkan mereka dapat menang kerusi dengan apa jua cara sakalipun.

Saya sendiri telah cuba untuk mendapatkan gambar yang telah ditunjukkan oleh Pas kepada orang ramai di kawasan pilihan raya saya. Gambar itu kononnya menunjukkan saya menggunakan chopstick di satu majlis makan Cina. Dengan secara tipu mereka telah meletakkan satu gambar lain ke atas gambar yang tersebut yang menunjokkan seekor anak babi terhidang di tengah-tengah meja di majlis itu. Saya berani bersumpah bahawa seumor hidup saya, saya tidaklah pernah menghadziri majlis jamuan makan Cina yang ada menghidangkan daging babi, atau pun apa jua makanan lain yang haram bagi orang Islam. Kawan-kawan Cina saya sentiasa menjaga supaya kejadian seperti ini tidak berlaku, kerana mereka sendiri tahu apa yang haram dimakan oleh orang Islam.

Tuduhan yang mengatakan saya bukan Islam adalah satu fitnah yang sangat kotor kerana mereka sendiri tahu bahawa saya telah pergi ke Mekah untok menunaikan fardu haji, dan mereka juga tahu bahawa saya anak kapada seorang yang warak dan lebai. Saya percaya orang-orang yang akan membaca kandungan buku ini akan terperanjat dengan perbuatan sebuah parti politik seperti Pasyang sanggup meletakkan dirinya begitu rendah untuk mencari kemenangan.

Sekalipun saya seorang yang kuat berpegang kapada ajaran Islam, tetapi sebagai Perdana Menteri saya telah menerima banyak jemputan ke majils sosial dan sebagainya, dan telah menikmati makanan Eropah, makanan Cina atau makanan India. Saya telah merasmikan pembukaan tempat-tempat ibadat bagi orang-orang yang beragama lain, dan saya juga telah mengarahkan supaya wang diberi untok membina tempat-tempat ibadat bagi agama-agama lain di Malaysia.

Wang yang diperoleh adalah daripada orang-orang yang berbagai-bagai-bagai agama, dan dengan itu patutlah diberikan juga wang untuk tempat ibadat mereka. Saya masih ingat lagi bagaimana orang-orang daripada pelbagai agama telah menghulurkan derma yang berjumlah berjuta-juta ringgit ketika saya melancarkan derma untok membina Masjid Negara.

Kesemua orang dalam negara telah memberi sumbangan mereka kapada kekayaan negara dan dengan wang ini dapatlah kita membuat bermacam perkara yang memberi manafaat kepada orang Islam, seperti membina masjid, surau dan sekolah agama. Begitu juga untuk mengadakan perayaan agama. Semua perkara ini dilakukan untuk kepentingan agama Islam, agama rasmi kita.

Orang-orang bukan Melayu tidak pernah menimbulkan bangkangan terhadap apa yang telah dibuat dan sedang diusahakan oleh Kerajaan untuk agama Islam. Mereka juga tidak pernah menyoal berapa banyak wang yang telah dikeluarkan untok mengembangkan Islam. Saya berani berkata dengan tegas bahawa Kerajaan Perikatan telah membuat lebih banyak kebajikan untuk Islam daripada yang boleh dibuat oleh Pas, sekalipun dalam negeri pemerintahan mereka sendiri.

Saya telah memberi beberapa contoh di atas mengenai kelakuan khianat yang dilakukan oleh Pas, tetapi masih banyak lagi dakayah bohong dan fitnah yang terlampau kebudak-budakan dan terlalu menyentuh peribadi untuk saya catatkan di dalam buku ini. Kalau sekalipun saya menulisnya, tidak ada siapa yang akan percaya.

Orang-orang yang mempunyai fikiran tidak dapat memahami perbuatan Pas semasa pilihan raya itu. Sesiapa yang kasih kapada negara tentu tidak dapat bersetuju dengan kelakuan mereka. Dalam pilihan raya itu satu perkara ganjil tetapi benar telah dilakukan oleh Pas.
Jika benar sebagaimana yang mereka katakan bahawa mereka anti-China, kenapa-kah pula mereka bersubahat dengan DAP, Gerakan dan PPP?

Tujuan Pas nyatalah untuk memecahkan undi Melayu supaya calon-calon Perikatan yang bertanding di beberapa kawasan tertentu tidak akan menang, dan pakatan mereka yang jahat ini telah berjaya. Mereka meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu tidak pun mencukupi untok menjayakan seseorang calon Pas dan dalam sesetengah kawasan pula mereka mungkin hilang wang pertaruhan sekalipun mereka berjaya mendapatkan kesemua undi Melayu di kawasan itu. Dengan perbuatan mereka berpakat dengan partiparti pembangkang yang anti-Melayu, Pas telah membuktikan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mendapatkan keuntungan dalam politik.

Jika begitulah sikap mereka, lebeh baiklah mereka menolong MCA, iaitu sebuah parti yang sentiasa mempunyai pandangan Malaysia dan telah membuktikan taat setianya kapada negara ini. Tetapi sebalik, di mana-mana MCA bertanding melawan calon dari parti yang anti-Melayu, Pas juga akan masuk dalam kawasan itu untok menghalang orang Melayu daripada mengundi calon MCA, atau sekurang-kurangnya memecahkan undi se-hingga calon Perikatan itu kalah dalam pertandingan tiga penjuru, samalah seperti yang mereka lakukan di kawasan di mana calon UMNO bertanding.

Saya suka menunjokkan dua kejadian yang membuktikan mereka telah menolong partiparti anti-Melayu. Di kawasan Setapak, Selangor, seorang yang saya tidak suka hendak sebutkan namanya telah kelihatan memberi wang kapada seorang ahli Pas. Orang ini ialah ahli DAP. Dalam kawasan Sepang, juga dii Selangor, calon-calon DAP dan Pas telah melancarkan kerja mereka dari sebuah pejabat, dan pekerja-pekerja DAP yang terdiri daripada orang Cina telah menampalkan poster untok calon Pas. Bukti ini cukuplah untuk menafikan dakwaan Pas bahawa mereka sebuah parti Melayu yang berdasar Islam. Mereka sanggup menghina agama untuk kepentingan politik dan wang.

Mereka berjanji akan menubuhkan sebuah negara atau kerajaan Islam jika mereka memegang kuasa. Tetapi mereka tidak pula menerangkan rupa dan bentuk kerajaan yang mereka angan-angankan itu. Kita dapat meragui sama ada mereka akan memenuhi janji mereka jika mereka berkuasa kelak.

Pas sedar bahawa mereka tidak ada harapan untuk mengambil kuasa negara ini dan kemungkinan yang seperti ini belumlah lagi terbayang. Dengan kesedaran yang seperti ini, maka mereka boleh melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membuat janji-janji palsu untuk menyedapkan telinga orang Melayu yang jahil tentang hal ehwal dunia. Tentulah banyak orang Melayu yang tertarik dengan janji hendak menubuhkan sebuah Kerajaan yang tidak berchampor dengan kaum-kaum lain.
Orang Melayu tentu-lah sangat tertarik dengan kemungkinan negara ini dikendalikan oleh orang Melayu sahaja kerana inilah negara tumpah darah mereka.

Dalam masa berkurun-kurun lamanya, dari satu keturunan ka satu keturunan, Malaysia telah diperintah oleh kuasa-kuasa asing _ Belanda, Siam, British dan Jepun. Oleh itu, kemungkinan negara ini di-perentah oleh orang Cina tentulah sangat dibenci oleh orang Melayu, kerana persetujuan telah dichapai semasa Merdeka dahulu bahawa Malaysia mestilah mempunyai keperibadian dan corak kebangsaan yang berteraskan Melayu. Beberapa perkara hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan.
Menurut apa yang di-katakan oleh Pas, semua hak ini akan hilang kiranya Perikatan menang.

Sementara itu, lain-lain parti pembangkang bertalu-talu pula menggembur-gemburkan konsep Malaysian Malaysia, dan ini mengurangkan sokongan orang ramai kepada MIC dan MCA dan menambahkan lagi kecurigaan orang Melayu. Oleh itu, konsep Malaysia untok orang Melayu sahaja yang ditonjolkan oleh PAS lebih senang mendapat sokongan orang Melayu. Sebagaimana kebanyakan orang China menyokong konsep Malaysian Malaysia yang dianjorkan oleh Lee Kuan Yew, maka begitulah juga orang Melayu menyokong cita-cita ini. Dengan cara itu, kedua-dua pendapat cauvinis yang tersebut telah saling menolong.

Langkah Pas menolong atau menggunakan parti-parti pembangkang yang pro-Cina dan parti-parti lain yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang melampau itu tentulah ada sebab yang tertentu. Tindakan mereka sangatlah berbahaya seperti bom atau torpedo yang telah di-tentukan masa meletup-nya.

Sebuah akhbar Hongkong bernama ”The Star” telah melaporkan pada 17 Jun bahawa Bank of China di Singapura telah tidak dapat mengimbangkan kira-kira kewangannya kerana beberapa jumlah wang yang besar telah dikeluarkan ”untok membiayai gerakan kekacauan di Singapura dan Malaysia”. Ada keterangan yang menunjukkan bahawa wang itu telah diberi kapada beberapa pihak yang tertentu di Kelantan untuk membiayai perbelanjaan kempen Pas. Terang dan jelaslah bahawa orang Melayu yang menyokong Pas tidak terdaya hendak mengeluarkan berjuta-juta ringgit untok pilihan raya itu. Wang itu tentulah datang dari satu punca tertentu, dan saya suka menegaskan bahawa punca itu bukan diketahui oleh Parti Pas sahaja.

Sekiranya Pas telah menerima bantuan wang daripada Komunis, maka berertilah pemimpin-pemimpin parti itu telah memperdaya dan mempermainkan orang-orang mereka sendiri. Kebanyakan daripada soaln agama yang dibangkitkan oleh Pas itu tidak selaras dengan fahaman Islam zaman tamadun dan bertentangan dengan keadaan yang terdapat di sekitar Malaysia pada hari ini. Pas telah mengambil kesempatan daripada kejahilan orang-orang miskin untok menjalankan taktik tipu helahnya, tetapi dosa mereka yang lebih besar lagi terhadap orang-orang mereka sendiri dan juga ke atas agama Islam, yang menjadi tunjang politik mereka, ialah perbuatan mereka membiarkan diri mereka digunakan oleh kuasa-kuasa lain untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.


(Petikan buku Sebelum dan Selepas 13 Mei karya Tunku terbitan 1969)

Saturday, April 5, 2008

Catatan Tunku Abdul Rahman

SEBELUM DAN SELEPAS 13 MEI: Dari Kacamata Tunku

Bahagian 1

Makin hari, makin ramai golongan muda yang melabelkan diri sendiri sebagai berpendidikan tinggi, "liberal", serta berfikiran bebas dan terbuka. Mereka cenderung melawan arus...kononnya atas kesedaran inginkan pembaharuan. Pembaharuan apa yang sering dilaung-laungkan itu? Sesetengah perkara tak pernah berubah walaupun telah berlalu hampir setengah abad nan lalu...yang bersalin kulit hanyalah penerapan slogan-slogan baru yang menjadi halwa telinga semata.

Sejarah takkan pernah menipu kita...sebab itu selang sekali-sekala, kita perlu meniti semula detik sejarah bagi menghayati perjuangan dan memahami keadaan sebenar pada masa dahulu.

Di sini diperturunkan (tanpa sebarang suntingan) semula sebahagian catatan dari bapa kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengenai peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang merundung kesedihan dan dukacita pada seluruh rakyat Malaysia.

Petikan yang diambil hanya berkisar mengenai pandangan peribadi Tunku terhadap PAS. Pandangan ini tidak boleh diambil mudah memandangkan ia disuarakan sendiri oleh tokoh yang amatlah berjasa dalam pembinaan negara kita, merangkap bapa kemerdekaan kita yang terulung.

Moga sama-sama dapat kita ambil iktibar dan pegajaran dari segala apa yang telah berlaku…

Sebelum dan Selepas 13 Mei

Di antara parti-parti pembangkang, Pas adalah parti yang tertua. Dalam pilihan raya yang pertama, iaitu semasa pemerintahan British dalam tahun 1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingkan, dan seuah kerusi telah dimenangi oleh ahli PAS dari Perak.

Allahyarham Dato’ Onn dengan secara tidak langsong adalah bertanggungjawab melahirkan Pas semasa beliau menjadi Yang Dipertua Agung UMNO. Ketika itu dalam UMNO terdapat sebuah jawatankuasa agama yang mempunyai tujuan untok menasehatkan UMNO dalam hal ehwal agama.

Apabila Dato’ Onn meninggalakan UMNO, ahli-ahli jawatankuasa agama itu kemudiannya telah menukarkan corak agama kapada politik supaya dapat bertanding dalam pilihan raya. Langkah itu telah menyebabkan pecahnya kekuatan orang Melayu. Dengan itu muncullah Pas dalam gelanggang politik tanah air kita. Mereka melancarkan gerakan dengan menggunakan agama semata-m,ata kerana pada keseluruhannya orang Melayu berpegang kuat kepada agama Islam. Pada permulaan-nya, parti itu tidak mendapat sambutan yang besar tetapi lama kelamaan mereka telah berjaya mendapat pengikut yang lebeh ramai, terutama di Kelantan di mana Perikatan memegang kuasa semasa merdeka dahulu.

Dengan kejayaan mereka mendapat penyokong yang besar bilangannya, maka mereka telah mengalahkan Perikatan di Kelantan semasa pilihan raya 1959 dan juga di-Trengganu, dan telah dapat menubohkan kerajaan di kedua-dua negeri itu. Sungguhpun bwgitu, pada 1962 kerajaan mereka di Trengganu telah dijatohkan oleh Perikatan setelah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat parti itu melompat masuk Perikatan. Dengan itu tinggallah Pas di Kelantan sahaja yang memegang kuasa kerajaan negeri sementara Perikatan berkuasa di kesemua negeri lain.

Pas tidak pernah mempunyai sebarang tujuan atau rancangan yang tertentu. Mereka bergantung semata-mata kapada isu agama Islam untuk mendapatkan sokongan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan untok menggubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang patut dibuat oleh sesebuah parti politik. Pada satu ketika, seorang ahli wanita Pas, Che’ Khatijah Sidek, yang menjadi ahli Parlimen, telah mengugut hendak keluar dari Pas jika parti itu tidak dapat menyusun satu dasar ekonomi yang tersendiri dalam tempoh enam bulan. Desakan ini tidak menghasilkan sebarang natijah, dan selepas dari itu Che’ Khatijah telah keluar dari gelanggang politik. Pas terus berjalan dengan dasar keagamaannya yang sempit dengan tidak mengubahkan coraknya sehingga hari ini, bahkan menambahkan lagi soal-soal perkauman yang sempit.

Mereka berkata, Tunku telah menjual Singapura kapada orang China dan kemudiannya akan menjual Malaysia pula. Apa yang sangat mengecewakan ialah orang ramai percaya dengan tuduhan itu.

PAS telah cuba hendak meluaskan pengaruhnya keluar dari Kelantan ke negeri Kedah dan Perak dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di negeri-negeri itu, tetapi mereka telah gagal. Saya diberitahu soal-soal agama tidak begitu menolong parti itu di negeri-negeri Pantai Barat, kerana orang-orang di situ lebih luas pandangannya dan lebeh menghormati hak-hak orang lain untuk memilih agama masing-masing. Mereka lebeh progresif atau lebeh maju dalam cara pemikiran berbanding pandangan sempit orang Kelantan.

Dalam pilihan raya 1969 pula, Pas telah mengubah taktiknya dengan melancarkan kempen mencemarkan nama baik UMNO dengan mempermain-mainkan sentimen bangsa sehebat-hebatnya supaya timbul rasa benci orang ramai kapada parti itu. Cara itu telah memberi kejayaan yang besar kapada mereka. Mereka menuduh UMNO pro-Cina dan menjual negara kapada orang Cina. Mereka telah menggunakan cara yang tajam dan halus dalam kempen anti-Cina yang mereka lancarkan di kawasan luar bandar di negeri-negeri Utara Pantai Barat. Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama bahawa orang Cina hendak memegang kuasa seluruh negara dan menuduh saya telah memberi peluang itu kapada orang Cina.

Untuk menjadi bukti kapada dakwaan mereka, maka mereka telah menyebar ke seluruh kampong gambar Khir Johari, seorang Menteri Kabinet dan isterinya memakai pakaian orang Cina Mandarin. Gambar itu telah diambil di Hongkong secara bersuka-suka untuk dihantar kapada kawan-kawannya sebagai ucapan Selamat Tahun Baru. Pakaian ini ada disediakan di restoran untok pelancong menggunakannya bagi mengambil gambar sebagai tanda ingatan lawatan mereka ke Hongkong.

Khir Johari ialah seorang yang suka melawak, dia dan isterinya telah menggunakan gambar ini untuk kad Selamat Tahun Baharu Cina yang telah mereka kirimkan kepada kawan-kawan Cina mereka dalam bulan Februari sebagai menunjukkan rasa muhibah. Masing-masing yang menerima-nya telah gelak ketawa melihat gambar itu. Pas segera mengambil kesempatan menggunakan gambar ini sebagai satu senjata untuk kepentingan politik mereka. Gambar ini telah diedarkan seluas-luasnya di kalangan orang Melayu sambil memburuk-burukkan Khir dan menuduh dia telah menjadi orang Cina. Kasihan Khir! Tujuannya hendak berjenaka itu telah merugikan dirinya dan dia telah kehilangan banyak undi dalam pilihan raya itu.

Ini satu sahaja contoh yang menunjukkan sejauh mana pihak Pas sanggup melakukan perbuatan kotor dan tipu helah untok mencari kemenangan dalam politik. Perbuatan mereka sangatlah khianat dan liar. Inilah satu penipuan yang sehabis busuk yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.


(Petikan buku Sebelum dan Selepas 13 Mei karya Tunku terbitan 1969)