Wednesday, May 28, 2008

Kemelut Pulau Pisang...

Setelah berakhirnya saga Pulau Batu Putih, kini timbul pula kemelut Pulau Pisang.

Pulau yang berkeluasan 178.4 hektar tersebut menimbulkan cetusan persoalan berhubung kewujudan rumah api yang diuruskan oleh pihak Singapura.

Rakyat Malaysia pastinya tidak mahu peristiwa "pisang berbuah dua kali" menjadi "pulau terlepas dua kali".

Agak melegakan kala Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengeluarkan kenyataan "Pulau Pisang itu berada di dalam daftar kerajaan dan ia adalah milik kerajaan negeri Johor. Keperluan rumah api itu adalah sekadar untuk laluan perkapalan, syarat itu hendaklah dipatuhi"

Itu cerita Pulau Pisang di selatan. Lain pula kisahnya di utara.

Aku membesar di sebuah kampung di pedalaman Kedah...letaknya dalam daerah Kubang Pasu.

Sejarah Kubang Pasu agak panjang dan memukau...dan hampir keseluruhannya berkisar pada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah.

Sultan Ahmad Tajuddin merupakan seorang yang bijaksana. Baginda enggan menurut telunjuk Rama II yang memerintahkan baginda menyerang Perak, kerana baginda sedar tujuan sebenar di sebalik perintah tersebut - untuk melemahkan Kedah dan Perak supaya Siam dapat secara langsung menakluk dan memerintah kedua-dua kerajaan tersebut.

Baginda kemudiannya menolak jemputan Raja Siam untuk kunjungan hormat ke Bangkok...kerana risau kemungkinan dibunuh.

Raja Siam bertindak balas dengan menghantar bala tentera yang besar ke Kuala Kedah. Baginda berundur ke Seberang Prai...dengan menabur kepingan syiling di sepanjang perjalanan untuk melengahkan pengejarnya.

Baginda belayar ke Pulau Pinang dan mendapat perlindungan dari Gabenor (British) Pulau Pinang.

Siam kemudiannya memecahkan Kedah kepada 4 kawasan, Kedah, Perlis, Setul (Satun) dan Kubang Pasu. Kubang Pasu diserahkan kembali pada Kedah beberapa tahun kemudian...manakala Perlis kekal sebagai negeri berasingan dan Setul kini berada di bawah Thailand.

Sultan Ahmad Tajuddin diabadikan namanya pada sebuah sekolah elit di bandar Jitra...iaitu Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, bekas sekolah rakan aku si Bagak dan si Amal Bukhari Saleh.

Putera sulung Sultan Ahmad Tajuddin, Raja Zainal Rashid (juga dikenali sebagai Tengku Daei dan Tunku Anom), yang bertanggungjawab berunding dengan Raja Siam mengenai pemulangan takhta kerajaan Kedah kepada ayahandanya, telah dimakamkan di Kubang Pasu.

Baginda dimakamkan di sebuah kampung yang dinamakan Pulau Pisang.

Itulah kampung tempat aku membesar dan belajar mengenal erti kehidupan.

Makam Tunku Anom letaknya hanya beberapa meter di belakang rumah lama aku (yang kini telah dirobohkan, kerana aku berpindah ke rumah baru di belakang rumah Tok aku di hujung kampung).

Pulau Pisang ini juga tak terlepas dari kemelut tersendiri.

Petikan dari Utusan Malaysia -

KUALA TERENGGANU 29 Nov. – Terengganu menjadi negeri yang pertama di Malaysia mengeluarkan fatwa bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ahli jemaah syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. dan gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Di KOTA BHARU, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau sememangnya menyokong tindakan tegas kerajaan ke atas individu yang berusaha menghidupkan kembali Al-Arqam termasuk yang berselindung di sebalik perniagaan.

Walaupun Nik Aziz secara peribadi mengakui tidak mengetahui pergerakan Al-Arqam dengan terperinci, namun dari segi luaran, khususnya pakaian pengikut ajaran itu, beliau sudah boleh menilai sama ada mereka terpesong atau tidak. Katanya, Islam tidak pernah menetapkan pakaian seragam hingga perlu berjubah dan berserban.

"Islam tidak pernah ajar seperti itu. Nak pakai apa pun pakailah, nak berserban macam saya ke, nak pakai cara Melayu ke, Benggali ke, asalkan tutup aurat. Sebab itu saya kata Arqam ke, Rufaqa’ ke, sesat.

"Sesat ini pun macam-macam, yang berfahaman nasionalis, memisahkan agama dengan politik juga sesat. Eloklah sama-sama bertaubat,” katanya.

Di ALOR STAR, kerajaan negeri Kedah dilaporkan sedang mengawasi dua buah perkampungan di negeri ini yang disyaki menjadi pusat mewujudkan semula kegiatan Al- Arqam.
Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dua perkampungan terbabit terletak di Pulau Pisang di Kubang Pasu dan Merbok, Kuala Muda.

"Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKN), Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan polis sentiasa memantau perkembangan kedua-dua perkampungan ini.

"Kita dapati wujud elemen-elemen seperti kumpulan Al-Arqam dari segi pakaian dan cara hidup,” katanya.

Sementara itu di Sungai Petani, seorang penduduk meminta pihak berkuasa agama memantau aktiviti sekumpulan 100 orang yang sebahagiannya dipercayai orang luar yang cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam di Kampung Bukit Haji Omar, Merbok dekat sini.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, mereka bergiat aktif dengan berselindung di sebalik kegiatan perniagaan dan menternak ikan menggunakan nama Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd..

Beliau berkata, kegiatan tersebut dikesan sejak setahun lalu dengan kebanyakan ahlinya berasal dari luar kawasan kampung berkenaan.
Abdullah mendakwa perbuatan dan cara ibadah ahli kumpulan tersebut dikhuatiri bercanggah dengan ajaran Islam sebenar.
"Mereka tidak bercampur dengan penduduk tempatan sedangkan surau dan masjid terletak hanya beberapa ratus meter dari tempat itu,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2006&dt=1130&pub=utusan_malaysia&sec=muka%5Fhadapan&pg=mh_05.htm&arc=hive

Di selatan, Pulau Pisang berhadapan dengan ancaman Singapura, tetapi di utara, Pulau Pisang berdepan dengan pengaruh Al-Arqam.

Aku sendiri tak pasti yang mana satu yang lebih merisaukan...

Monday, May 26, 2008

Dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Batu Putih...

Petang Jumaat lepas, aku turun ke bilik TV buat pertama kali sejak menginap di Cahaya Gemilang untuk menonton siaran langsung pengumuman keputusan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura.

Aku mulanya turun pukul 4...tapi kerana ada individu yang menonton Telenovela, terpaksa aku tangguhkan niat...dan hanya kembali turun jam 5.

Dalam fikiran aku, cuma ada satu perkara...ingin mendengar sendiri pengumuman yang dikatakan bakal berpihak pada Malaysia dalam isu berkaitan pulau yang diberitakan hanya seluas separuh padang bola sepak.

Jauh dalam sudut hati aku, aku harap keputusan betul-betul akan memihak bagi pihak Malaysia. Biarlah tanah tumpah darah aku Malaysia yang tersayang ini menganjur dari Bukit Kayu Hitam di utara merentas ke Pulau Batu Putih di selatan.

(Bukit Kayu Hitam dan Pulau Batu Putih seperti saudara kembar yang berjauhan...juga bertentangan arah dan maksud. Satu di utara satu di selatan...juga perkataan Bukit-Pulau, Kayu-Batu, Hitam-Putih)

Jika dua kawasan ini dapat disatukan dibawah peta Malaysia, alangkah baiknya....

Aku tekun mendengar keputusan penghakiman yang dibacakan...walaupun kertas penghakiman kelihatan agak tebal, dan ungkapan Inggeris hakim (Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh) yang berkenaan agak pelik dan mengelirukan.

Setelah berlalu satu jam...masih tiada sebarang keputusan muktamad diumumkan.

Aku cukup kagum dengan barisan hakim dan peguam yang hadir dalam dewan sewaktu penghakiman dibacakan. Semuanya kelihatan cergas dan bertenaga walaupun penghakiman lisan berjalan hampir melewati dua jam.

Namun semakin lama, makin jelas bentuk kehakiman yang bakal diumumkan...dan rasa agak kurang senang mula timbul dalam hati aku.

Akhirnya, aku dapat menangkap lafaz (walaupun agak kabur) keputusan berpihak 12-4 kepada Singapura...manakala Pulau Middle Rock adalah milik Malaysia dengan majoriti 15-1.

South Ledge pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia terletak, bergantung kepada persempadan semula yang bakal dijalankan oleh Malaysia-Singapura.

Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim sejurus kemudian menyatakan keputusan itu adalah merupakan keputusan menang-menang...aku terima pendapat Dr Rais Yatim tersebut memandangkan beliau bukanlah sebarangan orang.

Tetapi jauh di sudut hati, hati rakyat Malaysia mana yang tidak tersentuh kala mendengar sendiri keputusan tersebut secara langsung?

Pulau tersebut pernah bernaung di bawah Kesultanan Melayu Johor...Singapura sendiri satu ketika dahulu adalah sebahagian dari Tanah Melayu.

Pada aku, sebagaimana England (English land) dan juga Thailand (Thai land), Malaysia sepatutnya dinamakan Malayland (ataupun pengekalan istilah Tanah Melayu yang membawa maksud yang sama)

Tapi, itu cerita lain...apa yang berlaku sekarang, kita telah kehilangan kedaulatan terhadap Pulau Batu Putih. Pulau yang satu ketika dahulu pernah bernaung di bawah kawalan dan kedaulatan Malaysia.

Harapnya tiada lagi pulau atau daratan kita yang bakal berpindah milik sebagaimana peristiwa yang melanda Pulau Batu Putih. Biarlah Pulau Batu Putih menjadi sejarah, dan harapnya sejarah yang terakhir...