Tuesday, October 23, 2007

Melayu Merdeka

Buat kesekian kalinya, 31 Ogos akan menjelma lagi. Namun, kali ini hadirnya lebih bermakna...seiring dengan 50 tahun kemerdekaan negara.

Setelah hampir 450 tahun dibelenggu penjajahan, negara akhirnya berhasil mencapai kemerdekaan tanggal 31 Ogos 1957.

Signifikan 'Ogos' pada kemerdekaan negara adalah besar...namun signifikan 'kemerdekaan' pada negara itu sendiri adalah jauh lebih besar. Tanpa sinar merdeka, negara akan terus mendung, redup...dilitupi kuasa penjajah.

Mei tahun lepas, 3 bulan sebelum menjelang Ogos, Pak Jang bertandang ke rumah. Selalunya bersama keluarga, tapi kali ini dia seorang. Selesai berbual ringkas dengan ayah, dia keluar...memandang pohon petai yang sedang lebat berbuah. Segera dia mencapai galah...mengait dari satu dahan ke satu dahan...diperhatikan oleh ayah. Petai-petai yang telah diturunkan akan dijual di pasar.

Rata-rata penduduk kampung masih mengekalkan kerjaya tradisi turun-temurun...walaupun tidak kurang yang telah menyahut seruan kemajuan, menjelajah keluar menjengah kehidupan di bandar.

Tradisinya, orang-orang Melayu adalah petani...golongan yang berbudi pada pohon, berbakti pada tanah. Dasar‘Pecah dan Perintah’tinggalan British tidak lebih dari hanya ingin mengkelompokkan penduduk tanah melayu menurut pengenalan pekerjaan. Anak-anak muda dilatih supaya menjadi lebih baik dari generasi sebelum mereka...mobiliti sosial adalah amat-amat jarang berlaku.

Dilahir dan dibesarkan dalam suasana kampung, aku, pak jang dan abah berkongsi banyak persamaan...walaupun tidak secara keseluruhan. Berasal dari jalur keluarga yang besar, kami mewarisi jalur keturunan yang sama, pusaka yang sama, dan ikatan darah yang sama. Ikatan darah yang melampaui ikatan kekeluargaan...berakar dari susur galur yang lebih besar dan bererti, yang memiliki sejarah yang lebih gagah dan kuat...

Itulah darah keturunan orang Melayu.

Sejarah Melayu begitu panjang...bertitik-mula lebih awal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sehingga kini, Melayu adalah kaum majoriti yang dominan di Malaysia. Dari era penjajahan ke rancangan Malayan Union, Suruhanjaya Reid, Fasal 153 Perlembagaan ke pembentukan negara Malaysia, pelbagai cabaran telah ditempuhi oleh orang-orang Melayu.

Sejarah membuktikan, kaum-kaum yang kecundang adalah kaum yang tidak meneliti dan menghargai sejarah...dan tidak menilai semula sejarah. Sejarah akan berpaling semula menurut edaran zaman...maka amat rugi bagi mereka yang tidak mengambil iktibar dari peristiwa sejarah.

Melayu bertuah kerana dikurniakan seorang pahlawan ulung, yang mahsyur di segenap kepulauan Melayu. Itulah Hang Tuah, kebanggaan orang Melayu sepanjang zaman. Namanya sendiri melambangkan kemakmuran dan‘tuah’yang dibawanya pada kerajaan Melayu. Turun naik kerajaan Melayu dibayangi kenamaan pahlawan agung ini...kemuncak persada Kesultanan Melayu Melaka tercapai apabila Hang Tuah berada di kemuncak, dan mula tersadai apabila Hang Tuah kian dimamah usia.

Tidak kurang juga yang mengangkat Hang Jebat sebagai nadi utama kebanggaan orang Melayu. Jika tidak kerana bayangan Hang Tuah, mungkin Hang Jebat yang akan muncul sebagai pahlawan unggul orang Melayu. Namun, perbezaan prinsip yang dinaung menjadi pencetus pertarungan dua sahabat baik ini. Pertarungan yang tidak mengiring sebarang erti, pertarungan yang sia-sia...yang rugi dan menjadi mangsa tidak lain hanyalah orang-orang Melayu sendiri.

“Segala titah patik junjung, dan Tidak sesekali Melayu menderhaka kepada raja” bersemuka dengan“Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah”. Umum mengetahui penamatnya...kalangan Melayu kehilangan seorang pahlawan yang sukar dicari galang ganti. Semuanya hanya bertitik-tolak dari seorang individu…

Itulah kerana seorang sultan Melayu.

Selain pahlawan-pahlawan umpama Hang Tuah dan Hang Jebat, sultan-sultan turut menikmati keistimewaan sebagai kebanggaan orang Melayu. Sultan dianggap sebagai tiang seri perpaduan orang-orang melayu...merangkap tonggak utama berpasaknya kekuatan orang-orang Melayu. Zaman berganti zaman, orang Melayu tetap kekal menumpahkan sepenuh taat setia kepada sultan.

Bilamana kita mentafsirkan sultan sebagai paksi kekuatan orang Melayu, kita perlu sedar akan kelibat orang asing yang akan menjurusnya sebagai teras kelemahan orang Melayu sendiri. Ini yang berlaku sedikit masa dahulu...bilamana British mula meluaskan pengaruh di Tanah Melayu dengan mewayang-kulitkan sultan-sultan.

Mereka tidak perlu kapal perang berduyun...tidak perlu deretan askar upahan...juga tidak perlu kelengkapan ketenteraan bertan-tan...cukuplah sekadar mereka mengawasi tindak-tanduk sultan, maka secara langsung seluruh rakyat akan terus dikawal...umpama boneka yang terikat talinya.

Ini merujuk perihal peri-pentingnya institusi Kesultanan Melayu diimbangi penasihat-penasihat yang kuat dan berpengetahuan tinggi. Sejarah membuktikan, nasihat yang salah kepada sultan-sultan dapat mencalar imej Kerajaan Melayu itu sendiri. Hang Nadim dibunuh gara-gara idea bernasnya berkubukan batang pisang kala Singapura dilanggar todak. Hang tuah dititahkan hukuman bunuh oleh Sultan Mansur Syah akibat termakan hasutan penasihat tinggi istana.

Kedudukan sultan yang kuat dapat menjamin kedudukan orang-orang Melayu sendiri. Kita tidak akan lupa jasa sultan-sultan awal kerajaan Melayu yang terlebih dahulu menerima Islam, yang membawa kepada pengislaman seluruh rakyat. Jika tidak, mungkin kepulauan Melayu tidak akan merasai nikmat Islam sebagaimana hari ini.

Antara sekian banyak kebanggaan orang Melayu, mungkin bahasa Melayu lebih kehadapan sebagai simbol kebanggaan orang Melayu yang paling nyata. Kekal sebagai warisan pusaka Melayu turun-temurun, ia masih utuh meniti dari bibir ke bibir orang Melayu. Biarpun dilanda rantaian cabaran, bahasa Melayu tetap megah berdiri...tak lekang dek Portugis, tak lapuk dek Belanda, tak rapuh dek British, tak reput dek Jepun.

Seruan terbaru kerajaan agar bahasa Melayu diistilahkan semula sebagai bahasa Malaysia, dapat ditafsir sebagai langkah yang agak kebelakang. Hasratnya memang murni...demi memupuk semangat kebangsaan kalangan kaum yang berbilang di Malaysia. Namun pelaksanaannya masih dapat dipertikaikan...bahasa Melayu bukannya sebarangan produk murahan yang sewenang-wenang mudah dijenamakan semula.

Bahasa Melayu telah lama bertapak di nusantara kepulauan Melayu...seiring dengan sejarahnya yang cukup kuat. Nostalgia yang terkandung berat di dalamnya sukar diserap ganti...istilah yang sering beralih memancarkan kelemahan dan kurangnya penghargaan terhadap bahasa itu sendiri. Atas apa alasan sekalipun, ini tidak patut berlaku...suatu pengorbanan ada hadnya yang tertentu. Tiada maknanya berkorban demi sesuatu yang belum pasti dihargai, demi memuaskan hati segolongan kelompok yang tidak pernah bermimpi menghormati kita sebagai peribumi bumi bertuah ini.

Namun tak bermakna kita perlu terus terbuai dalam alunan bahasa sendiri, tanpa sebarang usaha menyelami bahasa-bahasa lain. Kala pejuang-pejuang bahasa tegar mengukuh benteng mempertahan bahasa Melayu yang kian di pinggiran, dapat difahami keresahan yang terdetak di hati kecil mereka.

Riak rasa dan ombak kegelisahan mereka jelas memancarkan segala gundah-gulana…mereka bimbang akan nasib bahasa kesayangan ini. Dukacitanya, terdapat segelintir golongan penyorok dan penyorak bertopeng di belakang barisan ini...mereka inilah pengkhianat sebenar bahasa Melayu. Ibarat api dalam sekam, mereka sedikit kian sedikit mencalar kewibawaan pejuang-pejuang asli bahasa yang setulennya menyayangi bahasa Melayu.

Bahasa ibarat kaca mata kita dalam menelusuri dunia ilmu yang luas terbentang. Bahasa-bahasa di dunia saling melengkapi antara satu sama lain...tiada suatu bahasa pun yang benar-benar sempurna. Tiada apa yang rugi andai kita menguasai bahasa lain, andai tidak kita abaikan bahasa sendiri. Andai bangau yang diam di lubuk sawah hanya terhad memandang sejauh seberang lembah, lebarkan sayap dan terbanglah keawan biru...demi merentasi seberang lembah yang lebih luas dan memukau. Demi melihat gunung-ganang yang membukau, salji yang memutih, belantara yang merimbun...yang hanya dapat dicapai jika sayap dikembangkan.

Keadaan yang sama dengan penguasaan bahasa. Tidak dapat tidak, terpaksa diakui bahasa Melayu agak terhad capaian ilmunya...sekian banyak ilmu yang terbentang luas hanya dapat diamati selengkapnya dalam bahasa Inggeris. Amat rugi jika kita ketinggalan hanya kerana kita enggan meninggalkan kawanan bangau, sawah yang sekian lama didiami. Ilmu takkan sesekali menunggu kita...dan kita juga tidak punya banyak masa. Melebarlah ke awan biru, jelajahilah sepenuhnya ilmu yang terhidang luas...semoga dapat kita peroleh seribu pengajaran darinya.

Namun, timbul masalah baru...bilamana bangau yang terbang meninggi ini mula melupai asal usulnya...mula keliru dengan identiti dirinya. Setelah puas menikmati savanna yang menghijau, dia hinggap di bahu kanggaru, dan merasakan inilah tempat asalnya. Setelah puas menghayati bangunan yang mencakar langit, dia hinggap di Statue of Liberty, dan meyakini inilah tempat usulnya.

Ini hakikat yang terpaksa kita terima. Bahawa ada yang berpandangan satu-satunya jalan keluar untuk Melayu menikmati kemajuan ialah dengan mengambil sepenuhnya resepi barat...dan meninggalkan acuan Melayu yang kononnya sekian lama membelenggu kita. Mengamalkan budaya barat, bertutur loghat barat, dan berfikiran condong ke barat...sedapat mungkin mereka akan mengikis budaya dan identiti Melayu pada diri mereka.

Mereka bersarapan gandum dan oat yang (pada mereka) berkhasiat tinggi. Pada masa sama mereka memerli Melayu yang bersarapankan nasi lemak, kerana bagi mereka ini punca Melayu menjadi malas. Mereka mengisi masa lapang dengan permainan catur...yang dianggap berkelas tinggi dan mencabar minda. Pada masa sama mereka memerli orang-orang Melayu yang bermain dam aji...yang pada anggapan mereka melalaikan orang Melayu dengan‘haji segera’.

Ahh...bangangnya. Dam haji pun jadi punca kelemahan orang Melayu. Betapa inteleknya mereka. Jgn terkejut, suatu masa nanti mereka mungkin merumuskan keris juga salah satu penyumbang kelemahan orang Melayu...kerana reka-bentuknya yang bengkang-bengkok. Mungkin pantun juga turut terkena tempias...kerana untaian kiasannya yang mengelirukan, menyebabkan Melayu terus termangu. Mungkin baju Melayu, bersampin, bersongkok juga antara punca kelemahan Melayu...termasuk juga belacan, petai serta bermacam lagi...dengan pelbagai hujahan kelakar dikemukakan bagi menguatkan dakwaaan mereka.

Diakui, dari satu segi, mereka memang berjaya...terpelajar dan menikmati taraf hidup yang tinggi. Tetapi perlu difahami, kita masih boleh berjaya tanpa meleraikan adat, budaya yang telah sekian lama beradun dalam diri kita. Adat dan budaya Melayu tidak pun pernah mengekang kita dari menggenggam kemajuan, ini anggapan yang amat salah dan serong. Kaya kebendaan, tetapi miskin adat...saling tak tumpah umpama pohon berbuah lebat, tetapi isinya kelat.

Setinggi mana terbang bangau, ingatlah selut lumpur yang mana pernah meliputi kita sedikit masa dahulu. Ingatlah kawanan kerbau, ketam, belut, dan hijauan bendang yang setia menanti kepulangan kita. Kembalilah dan sama-sama berkongsi ilmu yang telah kita pelajari...hargai asal usul diri kita, itulah kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

Apa yang penting ialah pengisian struktur dalaman kita...dalaman yang kuat akan menyerlahkan struktur luaran yang teguh. Kita tak akan menjadi lebih Melayu sekadar bertanjak keliling pinggang, berkeris ke hulu ke hilir mahupun bersilat di sana sini. Juga takkan susut Melayu kita jika menguasai bahasa asing, menerapkan budaya luar yang baik, dan keluar dari tempurung pemikiran yang lama.

Benar ungkapan sesetengah pejuang Melayu...sekalipun kita terjun ke selat Inggeris, kita tetap Melayu. Namun, perlu difahami, sementelahan kerbau sekalipun jika tersadung ke selat Inggeris, ia tetap kerbau...tiada apa-apa yang istimewa. Dan tiada siapa yang akan ambil peduli. Tetapi jika Melayu yang terjun ke selat Inggeris itu seorang ilmuan agung yang tersohor, seorang penjelajah agung yang mahsyur, ataupun seorang ahli ekonomi yang disegani...bayangkan kelainan persepsi yang akan terhasil.

Orang Melayu tiada kurangnya berbanding bangsa lain...kita juga setanding, jika tidak melebihi keupayaan mereka. Cuma kurangnya rasa yakin diri, serta rasa rendah diri mendalam yang merencatkan panjatan orang Melayu ke taraf yang lebih tinggi. Manakan tidak, saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai permasalahan orang Melayu...yang tidak lebih dari sekadar menghebahkan kelemahan orang Melayu sendiri. Tiada penyelesaian yang dibincangkan, sekadar memaparkan masalah-masalah yang bergulung...dan mereka yang menulis perihal kelemahan orang Melayu ini seakan berbangga dengan pendedahan berkenaan.

Sekadar paparan demi paparan, tanpa sebarang cetusan penyelesaian, tidak akan menghuraikan sebarang masalah. Sebaliknya, orang Melayu akan terus disalut rasa rendah diri yang mendalam...kerana sekian hari didedahkan dengan pelbagai kelemahan bangsa sendiri. Tiada salahnya dibincangkan perihal bangsa kita sekadar peringatan...tetapi jika saban hari dirumuskan kelemahan kita tanpa putus-putus...ingatan apa yang nak disampaikan? Semua ini hanya meruntuhkan semangat orang Melayu sendiri...dan menjadi bahan ketawa bangsa-bangsa lain.

Kadangkala, kita sendiri kurang sedar yang kita juga penyumbang kepada suara-suara yang merendahkan keupayaan orang-orang Melayu. Tanpa sedar, kita turut memukul gendang, memalu gong menghentam kaum sendiri...terasa seronok menghebahkan kelemahan dan mendedahkan kekurangan bangsa sendiri. Terasa seperti kita berada di kelompok luaran, yang telah bebas dari kepompong kemelut Melayu yang seakan tidak berkesudahan.

Tiada guna terlalu asyik membincangkan perihal kekurangan kita...lebih banyak buruk dari baiknya. Lebih bermakna jika kita menonjolkan kejayaan orang Melayu yang telah tercapai...sebagai pelita pembakar semangat dan sumber teladan kita. Bicara kelemahan yang berterusan tidak lebih dari akan hanya melunturkan semangat Melayu sendiri. Kesan buruknya lebih besar dari apa yang dapat kita fikirkan.

Sesungguhnya, kita adalah penyambung warisan, kita juga adalah pelakar masa depan generasi akan datang. Agar mereka yang kemudian dapat menuruti jejak-jejak kita yang telah meluhurkan kejayaan, dan menghindari jejak-jejak kita yang menuju kebinasaan. Berjuanglah sedaya mungkin...demi apa yang kita percayai, demi apa yang kita miliki. Masa takkan pernah menunggu kita...dan kita juga tidak punya banyak masa...

Semalam adalah kenangan. Hari ini adalah kenyataan. Esok adalah impian.

Semalam adalah memori. Hari ini adalah realiti. Esok adalah fantasi.

Salam merdeka. Dan semoga Melayu kan terus merdeka. Dulu, kini, selamanya...

* First appeared in my Friendster Blog, August 29 2007, on the eve of Merdeka Day. It took me almost a month to complete this.