Monday, April 13, 2009

Suatu 14 Februari...

14 Februari 2004, Stockholm, Nivea dan Hroistov merancang untuk balik ke Claire-Kimberly bersama-sama. Ketiga-tiganya belajar di situ. Stockholm, yang paling lambat diberitahu mengenai rancangan tersebut, tergesa-gesa menyiapkan diri seberapa segera yang termampu.

Stockholm tiba di terminal bas menjelang lewat pagi, beberapa ketika sebelum bas bertolak. Nivea dan Hroistov baru selesai menjamu selera di satu restoran dalam kawasan terminal.

Perjalanan ke Claire-Kimberly mengambil masa 2 jam setengah. Stockholm duduk bersama Hroistov…manakala Nivea duduk bersebelahan seorang yang tak dikenali.

Sepanjang perjalanan, Stockholm hanya mendiamkan diri…menghabiskan masa memandang ke luar tingkap. Pandangan Stockholm tertumpu pada deretan hijaun pohon-pohon yang memekar sepanjang jalan…bukti keindahan alam ciptaan Tuhan. Namun cuma pandangan Stockholm yang meleret pada saujana panorama hidangan alam, kerana fikirannya jauh melayang pada perkara lain. Banyak perkara bermain di fikiran Stockholm…yang kebanyakannya belum menemui jalan penyelesaian.

Sesekali, Stockholm mencuri pandang ke arah Nivea. Sejak pertama kali menemui Nivea, Stockholm sudah jatuh hati pandang pertama. Pertemuan tersebut tidak berlangsung lama, namun cukup untuk memberi kesan pada Stockholm. Kali kedua Stockholm berjumpa Nivea, semasa Stockholm berlatih di Claire-Kimberly High.

Separuh perjalanan, bas berhenti di suatu tempat untuk menurunkan penumpang. Kebetulan penumpang di sebelah Nivea turun di tempat tersebut, meninggalkan Nivea keseorangan dengan tempat duduk di sebelahnya tidak terisi.

Bas mula meneruskan perjalanan…manakala Stockholm mula berkira-kira dalam fikirannya untuk menemani Nivea, walaupun belum dizahirkan dengan tindakannya…yang kelihatan masih merenung ke luar tingkap. Selepas beberapa saat, Stockholm membatalkan niat tersebut…setelah memikirkan kurang sesuai untuk meninggalkan Hroistov bersendirian. Stockholm duduk berhampiran tingkap, manakala Hroistov berdekatan laluan tengah.

Tetapi Hroistov mula berkelakuan luar biasa…sekejap kelihatan hendak berdiri, sekejap kelihatan hendak duduk kembali. Jelas kelihatan Hroistov teragak-agak dan berkira-kira untuk bertindak sesuatu. Hroistov juga, tak tumpah seperti Stockholm, ada menyimpan perasaan pada Nivea. Jelas pada pandangan Stockholm, Hroistov ingin duduk di sisi Nivea, walaupun masih ragu-ragu.

Akhirnya Hroistov membatalkan niatnya…dan terus kekal di tempat duduk asalnya….tindakan yang melegakan Stockholm.

Setibanya di Claire-Kimberly, hari masih lagi awal petang. Stockholm, Hroistov dan Nivea mengambil peluang bersia-siar seketika di bandar. Claire-Kimberly merupakan bandar yang kecil. Jalan-jalannya tidak sebegitu sesak. Cuaca sangat baik…dengan mentari gagah menyinarkan cahayanya yang membahang.

Sepanjang mereka bersiar-siar, Stockholm hanya banyak mengikuti dari belakang. Stockholm seorang yang kurang berbual. Melihat Hroistov dan Nivea berbual mesra di hadapannya sangat memedihkan hati Stockholm. Namun semua itu dipendamkan kerana Stockholm tiada sebarang hak untuk menghalang. Stockholm sendiri masih tidak tahu apa perasaan sebenar Nivea padanya.

Sesekali, Stockholm memeriksa saku beg yang dibawanya. Dalam beg tersebut terkandung barang yang istimewa untuk Nivea. Barang penting tersebut masih tersemat dengan baik.

Nivea masuk ke sebuah kedai cenderahati. Stockhom mengikuti Nivea dengan rapat…walaupun tiada idea yang terlintas di fikirannya topik apa yang hendak dibicarakan dengan Nivea. Nivea memegang satu cenderahati kaca berbentuk bujur…dan Nivea kelihatan sangat berminat. Tidak lama kemudian, Nivea meletakkan semula kraf kaca tersebut, dan bergerak menuju Hroistov.

Stockholm memegang cendera kaca yang dibelek Nivea sebentar tadi, dengan fikiran jika Nivea berminat, Stockholm akan membelinya. Tetapi Nivea seakan tidak mengambil sebarang perhatian…dan terus berjalan dan berbual mesra bersama Hroistov.

Stockholm meletakkan kembali cendera kaca tersebut. Nivea sangat istimewa di hatinya…hinggakan apa sahaja yang istimewa di hati Nivea, akan turut istimewa di hati Stockholm. Hati Stockholm seakan diguris sedikit demi sedikit melihatkan kemesraan Hroistov dan Nivea. Barang yang tersimpan dalam beg Stockholm masih belum beralih tangan. Stockholm ingin memberinya pada Nivea…namun kehadiran Hroistov seakan menjadi batu penghalang besar.

Tiba masa untuk kembali ke Claire-Kimberly College. Di satu laluan, Nivea berhenti seketika dan memandang ke arah Stockholm.

“Kenapa perlahan sangat…dah la pakai baju merah...” katanya sambil tersenyum.

Stockholm tidak memberikan sebarang jawapan…sekadar membalas dengan senyuman. Senyuman Nivea menambahkan lagi perasaan sayang Stockholm padanya. Terdetak di hati Stockholm untuk mengambil sebutir batu yang berjajaran di sepanjang jalan, dan dilontar tepat ke kepala Hroistov. Biar terjatuh dia di pinggir jalan lalu maut dilanggar lori tanah ataupun digilis bas kilang hendaknya.

Masih belum terbuka ruang untuk Stockholm menyampaikan barangan yang ingin diberinya kepada Nivea. Nivea sangat asyik sekali berbual bersama Hroistov, menutup segala peluang Stockholm untuk mendekatinya tanpa pengetahuan Hroistov.

Namun peluang yang ditunggu-tunggu bertandang tiba juga akhirnya. Di suatu laluan, terdapat satu bangunan yang membentuk selekoh. Di suatu sudut, terdapat sebuah van yang melindungi pandangan dari selekoh tersebut. Setelah mengambil kira masa yang sesuai, Stockholm memanggil Nivea. Nivea mendekati Stockholm…sementara Hroistov baru sahaja hendak melalui selekoh. Di sebalik van tersebut, Stockholm memberikan Nivea barang tersebut…sebungkus kecil coklat Toblerone. Nivea sekadar tersenyum.

“Kenapa tak balut?”

“Tak pandai…”

Sebaik sahaja Nivea selesai menyimpan hadiah tersebut, Hroistov muncul.

“Ada apa?“

“Tak ada apa...” jawab Stockholm ringkas.

Niatnya sudah dilangsaikan. Hanya hadiah kecil tersebut yang mampu diberikan Stockholm kepada Nivea. Stockholm sendiri tidak pasti sejauh mana hadiah tersebut akan memberi kesan kepada Nivea. Yang pasti perasaannya pada Nivea sangat mendalam, walaupun Nivea mungkin tidak sedar...

* Berdasarkan kisah benar
* Skor 2 bijik gol futsal tadi. First time main dah digelar " Torres". Dua kali main mesti taraf Maradona.
* Balik rumah kurang dari 5 jam lagi. Yeah!