Saturday, January 30, 2016

Dosa si Anak

Saya terbaca satu posting di facebook mengenai dosa anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa.

Posting tersebut berkisar mengenai tanggungjawab para ayah yang akan memikul dosa-dosa anak-anak mereka selagi mereka belum baligh (lelaki & perempuan) dan khusus bagi anak-anak perempuan pula, setelah mereka baligh dan selagi mereka belum berkahwin, dosa-dosa adalah atas tanggungan si ayah.

Saya berhasrat untuk fokus pada isu dosa anak-anak sebelum usia baligh. 

Saya teringat pernah terbaca jawapan ringkas dari Dr Rozaimi (pensyarah UPSI, lulusan phD hadith dari Jordan) yang memberi jawapan ringkas setelah ditanya mengenai dosa anak-anak belum baligh yang ditanggung ibu bapa.

Jawapan Dr Rozaimi :
"Anak-anak kecil (belum baligh) tiada dosa"
Ini sangat bertentangan dengan ajaran yang telah sekian lama disebarkan (sejak saya di bangku sekolah rendah lagi) iaitu bahawa selagi belum mencapai usia baligh, dosa anak-anak akan ditanggung ibu bapa.

Hasil pembacaan lanjut, dari buku Himpunan Risalah Dalam Persoalan Ummah (buku ketiga), ditemukan petikan berikut :
Orang yang belum baligh (kanak-kanak) dan orang yang tidak sempurna akalnya tidak dijatuhkan hukuman. 
Ini berdasarkan sabda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam : 
"Diangkat pena (tidak dicatit kesalahan) dari tiga orang, anak kecil hingga baligh, orang tidur hingga terbangun dan orang gila hingga sedar " 
(Sahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Hudud, hadis no. 4402)
Terurai satu persoalan yang telah sekian lama disalah-fahamkan, iaitu kanak-kanak sebelum usia baligh tiada dosa, bukannya dosa mereka ditanggung oleh bapa.

Tugas dan tanggungjawab ibu bapa adalah membimbing anak-anak ini supaya menjadi insan yang bermanfaat.

Tetapi masih ramai yang masih terbelenggu oleh kefahaman lama. Berkemungkinan kesalah-fahaman ini berpunca dari ajaran Kristian yang mempercayai The Original Sin sehingga sedikit sebanyak kefahaman ini mencemari ajaran Islam dalam sedar atau tidak.

Islam terbina dari dalil. Sekiranya datang kepada kita suatu ilmu baharu yang jelas bertentangan dengan kepercayaan kita sekian lama, lapangkan dada dan nilaikan setiap ilmu tersebut dengan pertimbangan dalil dan akal.

Kerana ada kemungkinan, apa yang kita percayai sekian lama adalah salah, dan apa yang baru diketahui adalah lebih dekat pada kebenaran.

Updated 9/2/2016