Thursday, June 26, 2008

Apa jadi bila air dalam gelas dicondongkan?

Antara tahun 1998 dan 1999, sebidang tanah milik arwah tok wan aku di pedalaman Padang Terap akan dijual.

Sebagai waris lelaki sulung, ayah aku merupakan orang pertama yang perlu dirunding. Dan ayah boleh mendapatkan hak ke atas tanah tersebut dengan harga serendah RM 2000...jauh dari harga pasaran yang berlegar sekitar RM15 000 – RM20 000.

Seperti dijangka, ayah sangat berminat dengan tawaran tersebut, dan dia bersetuju.

Aku yang baru setahun jagung, belum faham apa-apa pada masa tu. Sebelum ini, aku selalu ikut ayah ke Bukit Tunjang...di sana ada dusun durian yang dikongsi bersama saudara ayah yang lain.

Masa sekolah rendah, aku selalu bermalam kat dusun tu...menunggu durian gugur. Ada 'Dangau' dua tingkat yang dibina bersama terpasak di atas tanah dusun itu. Selain durian, masih ada lagi pokok manggis, petai dan lain-lain.

Tapi entah kenapa, dusun tersebut seakan-akan merajuk untuk berbuah setelah aku masuk sekolah menengah. Seingat aku, aku tak pernah lagi menjejakkan kaki ke dusun Bukit Tunjang selepas tahun 1998.

Kali pertama aku ikut ayah ke dusun Padang Terap, masa seakan-akan terlalu panjang. Padang Terap merupakan antara daerah yang kebelakang berbanding daerah-daerah lain di Kedah. Kerajaan negeri giat menekankan sektor pertanian, dengan sayur-sayuran diberi perhatian utama.

Sekolah-sekolah yang terdapat di sini rata-ratanya sangat daif...dengan hanya berbekalkan satu blok untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran.

Masih aku ingat sekitar tahun 1997, aku, Mukrish dan Najib terpilih mewakili Sekolah Kebangsaaan Tunjang dalam satu kuiz Sains. Diiringi cikgu Aliyah, pertandingan bertempat di sebuah sekolah di Padang Terap. Dalam masa Mukrish dan Najib bertungkus lumus menjawab kuiz, aku merayau sendirian.

Aku tertarik pada satu papan kenyataan di ruang legar utama sekolah. Terpampang keputusan peperiksaan semasa sekolah. Apa yang membuatkan aku agak terperanjat, langsung tidak tercatat keputusan 'A'...hanya 'B', 'C' dan ke bawah. Agakan aku, sekolah tersebut tergolong dalam kategori sekolah luar bandar.

Dusun yang baru dimiliki ayah terletak di kawasan yang dikenali sebagai "Perik"...lokasinya betul-betul di belakang Bukit Wang, kawasan rekreasi terkenal di Jitra. Berbeza berbanding daerah lain di Kedah, daerah ini dikelilingi bukit bukau yang berbalam tinggi. Jika aku tidak salah, kawasan ini terletak dalam banjaran Kedah-Singgora yang menganjur hingga ke wilayah Thailand.

Pertama kali aku sampai di sana, keadaan sangat tenang. Ada air sungai jernih yang mengalir dari puncak bukit. Langsung tidak terusik oleh agenda pembangunan. Seakan-akan kita kembali ke zaman nenek moyang dahulu kala.

Ada beberapa penempatan orang asli, yang jelas kelihatan di lereng-lereng bukit. Menurut ayah, tidak lama lagi bekalan air dan elektrik akan sampai kepada mereka. Orang-orang asli di sini menyara diri dengan bercucuk-tanam. Kehidupan di sini sangat terasing...jika Malaysia diserang Singapura sekalipun di luar sana penduduk di sini tak akan sedar.

Aku membantu ayah menebas dan membersihkan kawasan dusun yang dipenuhi semak belukar. Banyak pokok pisang liar yang subur menumbuh. Pokok-pokok pisang liar ini berbeza berbanding pokok pisang biasa...fizikalnya lebih tinggi dan kasar. Ayah menebang hampir kesemua pokok pisang liar yang menghalang pandangan dan mungkin mengganggu anak-anak durian yang hendak membesar.

Tangan aku melecet kerana terlalu lama menggunakan parang. Hutan di sini betul-betul tebal dan terasing...ayah menunjukkan tanda di mana dusun milik kami berakhir. Di seberang tanda tersebut, terpampang hutan tropika yang sangat luas menghijau. Pohon-pohon kayu yang sangat besar menjalar tinggi, dengan ranting dan dahannya melebar jauh menjangkau beberapa belas meter.

Hutan tersebut merupakan rizab kerajaan. Menurut ayah, jika merentas hutan tebal tersebut, akan berakhir di satu kawasan sempadan yang dinamakan 'Durian Burung'. Apa yang aku tahu, kawasan tersebut merupakan antara kawasan kawalan tentera.

Masih aku ingat, ada satu ketika monyet-monyet liar berkeliaran dan bergayutan bebas di ranting-ranting pokok. Monyet-monyet liar ini yang bakal membawa masalah pada pokok buah-buahan di dusun ini satu ketika nanti. Kesan tapak kaki pelanduk juga dapat dilihat dengan mata kasar. Menurut ayah, babi hutan juga ada berkeliaran...termasuk haiwan liar seperti harimau dahan dan juga lutong.

Agakan aku, ayah ingin menjadikan dusun "Perik" ini seperti dusun Bukit Tunjang. Anak-anak durian baru ditanam, sebagai tambahan kepada durian yang telah ditanam tidak berapa lama dahulu. Pokok dokong agak luar biasa banyaknya...aku lebih suka jika pokok manggis dilebihkan. Kerana aku sudah lama tidak merasa manggis.

Di seberang yang lain, terbentang dusun milik bapa saudara aku., Pak Chaq. Di sebelahnya pula, dusun milik Tok Long. Aku sendiri tidak faham bagaimana orang-orang tua kampung aku boleh mendapatkan tanah sebegini banyak di kawasan yang sebegitu jauh dari kampung.

Dalam ketika yang lain, aku, ayah, Pak Chaq, Tok Long Mid, serta dua orang Tok Long aku yang lain datang serentak. Tujuan kami cuma satu, ingin menyalurkan air kepada pokok. Walaupun aku sendiri masih keliru bagaimana cara ingin menaikkan air ke atas tanah dusun jika tidak menggunakan pam?

Tanah dusun ayah letaknya di lereng bukit...agak tinggi berbanding tanah rata. Di bawah cerun bukit, mengalir sungai yang berpunca dari anak air di bukit yang sebelahnya. Bukit letaknya dusun kami dipisahkan dengan bukit berhampiran oleh sungai tersebut.

Ayah dan orang-orang veteran kampung yang lain membawa paip hitam yang berdiameter agak besar. Mustahil paip tersebut mampu mengepam air dari sungai tanpa alat pengepam.

Ada sebuah alat pengepam usang dalam hutan rizab tebal tidak jauh dari dusun ayah. Aku sendiri tak tahu sama ada masih boleh berfungsi atau tidak. Kali terakhir aku meredah hutan rizab untuk ke lokasi pam tersebut, kaki aku dihinggap pacat bukit yang sebesar ulat bulu dewasa. Sesudah dibuang, darah mengalir tak berhenti-henti dari kaki aku. Terasa macam nak pitam.

Kami semua bergerak menghala ke arah puncak bukit yang bertentangan dengan bukit di mana dusun kami terletak. Aku tak berapa pasti berapa jauh, pendakian mungkin mencapai 1 atau 2 Km. Ditambah dengan belukar tebal dan semak-samun, memang agak mencabar...memandangkan aku masih budak muda waktu tu.

Kami singgah di pertengahan pendakian untuk makan tengah hari. Aku masih ragu-ragu apa yang hendak dilakukan oleh ayah dan yang lain...aku hanya mengikut tanpa soal.

Bagi aku, lebih baik cari air di puncak bukit di mana dusun kami terletak. Dan salurkan ke bawah dimana dusun kami terletak. Aku difahamkan kemudian, bukit di mana letaknya dusun kami tiada punca air di puncak.

Tetapi, jikapun diletakkan paip di puncak bukit yang satu lagi, air tidak akan sampai ke dusun kami kerana kedudukan dusun kami yang agak tinggi.

Memahami keadaan aku yang masih keliru, Tok Long aku memberi aku satu anologi mudah, yang urutan kata-katanya masih aku ingat sampai hari ini.

"Apa jadi bila air dalam gelas dicondongkan? Parasnya akan tetap sama...takkan berubah"

Walaupun masih kurang faham, aku cuma mengikut tanpa banyak soal. Kami tiba di sebuah takungan air...tetapi pendakian diteruskan kerana ayah dan yang lain mahupun takungan yang kedudukannya lebih tinggi dari kedudukan dusun yang terletak di bukit bersebelahan.

Di takungan yang seterusnya, diameternya lebih besar. Tok Long menambak beberapa ketulan batu bagi membentuk takungan yang lebih besar. Kemudian paip hitam yang dibawa sejak dari tadi dimasukkan ke dalamnya. Air takungan mengalir masuk ke dalam paip hitam tersebut.

Hari-hari seterusnya, kerja-kerja menyambung paip pula mengambil alih. Kali ini, sepupu aku, Zahid turut serta membantu. Sehari suntuk kami bekerja...dan waktu itu, teknologi telefon bimbit masih jauh dari kenyataan bagi orang kampung seperti kami. Kami sekadar bertempik bagi memastikan kedudukan masing-masing di tengah-tengah hutan tebal yang terasing.

Hampir selesai penyambungan, aku menunggu dengan penuh minat di dusun Pak Chaq. Aku masih ragu-ragu sama ada air yang berpunca dari puncak bukit sebelah sana mampu turun merentasi cerun, melalui sungai dan naik semula mendaki cerun ke dusun kami.

Tak dapat dibayangkan betapa terperanjatnya aku kala air bukan setakat muncul di hujung paip hitam, bahkan keluar membuak-buak dan mengalir dengan laju sekali.

Selang berapa tahun kemudian, aku baru belajar kejadian tersebut dikenali sebagai "Prinsip Bernoulli " dalam istilah Sains. Prinsip sama yang diaplikasikan dalam kebanyakan rumah, dimana tangki air diletakkan di kedudukan yang tinggi bagi menyediakan tekanan yang cukup.

Jika paip hitam diletakkan di kedudukan yang tidak cukup tinggi di takungan bukit bertentangan, tekanan air tidak akan cukup kuat dan air tidak akan sampai ke dusun kami. Sebab itulah kami semua terpaksa mendaki tinggi.

Jika ditanya apa itu Prinsip Bernoulli, ayah dan Tok Long yang lain takkan tahu. Tapi teori yang hendak diterangkan oleh Prinsip Bernoulli tersebut telah lama berada dalam kotak fikiran mereka. Siapa kata orang-orang Melayu kita bodoh?

Aku banyak belajar dari ayah dan yang lain tentang tumbuhan dan cara bercucuk tanam. Pokok yang baru bertumbuh, perlu dijaga dengan rapi. Akar akan menjalar sejauh mana ranting dan daunnya menjalar. Kadangkala, perlu dibungkus bahagian bawah anak pokok dengan plastik hitam bagi menghalang resapan keluar air kesan bahang matahari.

Namun, atas suatu sebab yang tak dapat dielakkan, ayah terpaksa menjual dusun Perik kepada orang lain 5 tahun lepas. Aku ada terfikir untuk mendapatkan kembali dusun Perik setelah aku bekerja tetap satu hari nanti.

Seperti keadaan air dalam gelas bila dicondongkan, iaitu tetap sama dan tidak akan berubah, kenangan aku di Perik juga akan tetap sama, akan tetap tidak kan berubah...~