Monday, April 21, 2008

Catatan Tunku Abdul Rahman

SEBELUM DAN SELEPAS 13 MEI : Dari Kacamata Tunku

Bahagian 2

Misalnya Pas telah menyebarkan fitnah dengan mengatakan saya seorang Siam, pada hal mereka tahu ayah saya ialah Almarhum Sultan Kedah. Mereka juga menuduh saya beragama Buddha, walhal mereka tahu banyak perkara kebajikan yang telah saya buat untuk agama Islam semenjak lepas Merdeka. Saya bukanlah seorang yang takbur, tetapi saya boleh mendakwa bahawa jasa saya kapada agama Islam adalah setanding dengan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin negara Islam yang lain di zaman moden ini.

Dalam kempen pilihan rayanya, Pas telah memburokkan peribadi pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka telah menyerang peribadi pemimpin UMNO secara kotor yang tidak mungkin sesapa pun tergamak melakukannya. Mereka tahu apa yang mereka katakan mengenai pemimpin UMNO termasu saya sendiri tidaklah benar, tetapi mereka pergi dari kampug ke kampung untuk melancarkan kempen yang bohong dengan tidak menghiraukan apa jua akibatnya atau pun apa yang mereka lakukan itu boleh memarakkan api permusuhan antara kaum. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi asalkan mereka dapat menang kerusi dengan apa jua cara sakalipun.

Saya sendiri telah cuba untuk mendapatkan gambar yang telah ditunjukkan oleh Pas kepada orang ramai di kawasan pilihan raya saya. Gambar itu kononnya menunjukkan saya menggunakan chopstick di satu majlis makan Cina. Dengan secara tipu mereka telah meletakkan satu gambar lain ke atas gambar yang tersebut yang menunjokkan seekor anak babi terhidang di tengah-tengah meja di majlis itu. Saya berani bersumpah bahawa seumor hidup saya, saya tidaklah pernah menghadziri majlis jamuan makan Cina yang ada menghidangkan daging babi, atau pun apa jua makanan lain yang haram bagi orang Islam. Kawan-kawan Cina saya sentiasa menjaga supaya kejadian seperti ini tidak berlaku, kerana mereka sendiri tahu apa yang haram dimakan oleh orang Islam.

Tuduhan yang mengatakan saya bukan Islam adalah satu fitnah yang sangat kotor kerana mereka sendiri tahu bahawa saya telah pergi ke Mekah untok menunaikan fardu haji, dan mereka juga tahu bahawa saya anak kapada seorang yang warak dan lebai. Saya percaya orang-orang yang akan membaca kandungan buku ini akan terperanjat dengan perbuatan sebuah parti politik seperti Pasyang sanggup meletakkan dirinya begitu rendah untuk mencari kemenangan.

Sekalipun saya seorang yang kuat berpegang kapada ajaran Islam, tetapi sebagai Perdana Menteri saya telah menerima banyak jemputan ke majils sosial dan sebagainya, dan telah menikmati makanan Eropah, makanan Cina atau makanan India. Saya telah merasmikan pembukaan tempat-tempat ibadat bagi orang-orang yang beragama lain, dan saya juga telah mengarahkan supaya wang diberi untok membina tempat-tempat ibadat bagi agama-agama lain di Malaysia.

Wang yang diperoleh adalah daripada orang-orang yang berbagai-bagai-bagai agama, dan dengan itu patutlah diberikan juga wang untuk tempat ibadat mereka. Saya masih ingat lagi bagaimana orang-orang daripada pelbagai agama telah menghulurkan derma yang berjumlah berjuta-juta ringgit ketika saya melancarkan derma untok membina Masjid Negara.

Kesemua orang dalam negara telah memberi sumbangan mereka kapada kekayaan negara dan dengan wang ini dapatlah kita membuat bermacam perkara yang memberi manafaat kepada orang Islam, seperti membina masjid, surau dan sekolah agama. Begitu juga untuk mengadakan perayaan agama. Semua perkara ini dilakukan untuk kepentingan agama Islam, agama rasmi kita.

Orang-orang bukan Melayu tidak pernah menimbulkan bangkangan terhadap apa yang telah dibuat dan sedang diusahakan oleh Kerajaan untuk agama Islam. Mereka juga tidak pernah menyoal berapa banyak wang yang telah dikeluarkan untok mengembangkan Islam. Saya berani berkata dengan tegas bahawa Kerajaan Perikatan telah membuat lebih banyak kebajikan untuk Islam daripada yang boleh dibuat oleh Pas, sekalipun dalam negeri pemerintahan mereka sendiri.

Saya telah memberi beberapa contoh di atas mengenai kelakuan khianat yang dilakukan oleh Pas, tetapi masih banyak lagi dakayah bohong dan fitnah yang terlampau kebudak-budakan dan terlalu menyentuh peribadi untuk saya catatkan di dalam buku ini. Kalau sekalipun saya menulisnya, tidak ada siapa yang akan percaya.

Orang-orang yang mempunyai fikiran tidak dapat memahami perbuatan Pas semasa pilihan raya itu. Sesiapa yang kasih kapada negara tentu tidak dapat bersetuju dengan kelakuan mereka. Dalam pilihan raya itu satu perkara ganjil tetapi benar telah dilakukan oleh Pas.
Jika benar sebagaimana yang mereka katakan bahawa mereka anti-China, kenapa-kah pula mereka bersubahat dengan DAP, Gerakan dan PPP?

Tujuan Pas nyatalah untuk memecahkan undi Melayu supaya calon-calon Perikatan yang bertanding di beberapa kawasan tertentu tidak akan menang, dan pakatan mereka yang jahat ini telah berjaya. Mereka meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu tidak pun mencukupi untok menjayakan seseorang calon Pas dan dalam sesetengah kawasan pula mereka mungkin hilang wang pertaruhan sekalipun mereka berjaya mendapatkan kesemua undi Melayu di kawasan itu. Dengan perbuatan mereka berpakat dengan partiparti pembangkang yang anti-Melayu, Pas telah membuktikan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mendapatkan keuntungan dalam politik.

Jika begitulah sikap mereka, lebeh baiklah mereka menolong MCA, iaitu sebuah parti yang sentiasa mempunyai pandangan Malaysia dan telah membuktikan taat setianya kapada negara ini. Tetapi sebalik, di mana-mana MCA bertanding melawan calon dari parti yang anti-Melayu, Pas juga akan masuk dalam kawasan itu untok menghalang orang Melayu daripada mengundi calon MCA, atau sekurang-kurangnya memecahkan undi se-hingga calon Perikatan itu kalah dalam pertandingan tiga penjuru, samalah seperti yang mereka lakukan di kawasan di mana calon UMNO bertanding.

Saya suka menunjokkan dua kejadian yang membuktikan mereka telah menolong partiparti anti-Melayu. Di kawasan Setapak, Selangor, seorang yang saya tidak suka hendak sebutkan namanya telah kelihatan memberi wang kapada seorang ahli Pas. Orang ini ialah ahli DAP. Dalam kawasan Sepang, juga dii Selangor, calon-calon DAP dan Pas telah melancarkan kerja mereka dari sebuah pejabat, dan pekerja-pekerja DAP yang terdiri daripada orang Cina telah menampalkan poster untok calon Pas. Bukti ini cukuplah untuk menafikan dakwaan Pas bahawa mereka sebuah parti Melayu yang berdasar Islam. Mereka sanggup menghina agama untuk kepentingan politik dan wang.

Mereka berjanji akan menubuhkan sebuah negara atau kerajaan Islam jika mereka memegang kuasa. Tetapi mereka tidak pula menerangkan rupa dan bentuk kerajaan yang mereka angan-angankan itu. Kita dapat meragui sama ada mereka akan memenuhi janji mereka jika mereka berkuasa kelak.

Pas sedar bahawa mereka tidak ada harapan untuk mengambil kuasa negara ini dan kemungkinan yang seperti ini belumlah lagi terbayang. Dengan kesedaran yang seperti ini, maka mereka boleh melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membuat janji-janji palsu untuk menyedapkan telinga orang Melayu yang jahil tentang hal ehwal dunia. Tentulah banyak orang Melayu yang tertarik dengan janji hendak menubuhkan sebuah Kerajaan yang tidak berchampor dengan kaum-kaum lain.
Orang Melayu tentu-lah sangat tertarik dengan kemungkinan negara ini dikendalikan oleh orang Melayu sahaja kerana inilah negara tumpah darah mereka.

Dalam masa berkurun-kurun lamanya, dari satu keturunan ka satu keturunan, Malaysia telah diperintah oleh kuasa-kuasa asing _ Belanda, Siam, British dan Jepun. Oleh itu, kemungkinan negara ini di-perentah oleh orang Cina tentulah sangat dibenci oleh orang Melayu, kerana persetujuan telah dichapai semasa Merdeka dahulu bahawa Malaysia mestilah mempunyai keperibadian dan corak kebangsaan yang berteraskan Melayu. Beberapa perkara hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan.
Menurut apa yang di-katakan oleh Pas, semua hak ini akan hilang kiranya Perikatan menang.

Sementara itu, lain-lain parti pembangkang bertalu-talu pula menggembur-gemburkan konsep Malaysian Malaysia, dan ini mengurangkan sokongan orang ramai kepada MIC dan MCA dan menambahkan lagi kecurigaan orang Melayu. Oleh itu, konsep Malaysia untok orang Melayu sahaja yang ditonjolkan oleh PAS lebih senang mendapat sokongan orang Melayu. Sebagaimana kebanyakan orang China menyokong konsep Malaysian Malaysia yang dianjorkan oleh Lee Kuan Yew, maka begitulah juga orang Melayu menyokong cita-cita ini. Dengan cara itu, kedua-dua pendapat cauvinis yang tersebut telah saling menolong.

Langkah Pas menolong atau menggunakan parti-parti pembangkang yang pro-Cina dan parti-parti lain yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang melampau itu tentulah ada sebab yang tertentu. Tindakan mereka sangatlah berbahaya seperti bom atau torpedo yang telah di-tentukan masa meletup-nya.

Sebuah akhbar Hongkong bernama ”The Star” telah melaporkan pada 17 Jun bahawa Bank of China di Singapura telah tidak dapat mengimbangkan kira-kira kewangannya kerana beberapa jumlah wang yang besar telah dikeluarkan ”untok membiayai gerakan kekacauan di Singapura dan Malaysia”. Ada keterangan yang menunjukkan bahawa wang itu telah diberi kapada beberapa pihak yang tertentu di Kelantan untuk membiayai perbelanjaan kempen Pas. Terang dan jelaslah bahawa orang Melayu yang menyokong Pas tidak terdaya hendak mengeluarkan berjuta-juta ringgit untok pilihan raya itu. Wang itu tentulah datang dari satu punca tertentu, dan saya suka menegaskan bahawa punca itu bukan diketahui oleh Parti Pas sahaja.

Sekiranya Pas telah menerima bantuan wang daripada Komunis, maka berertilah pemimpin-pemimpin parti itu telah memperdaya dan mempermainkan orang-orang mereka sendiri. Kebanyakan daripada soaln agama yang dibangkitkan oleh Pas itu tidak selaras dengan fahaman Islam zaman tamadun dan bertentangan dengan keadaan yang terdapat di sekitar Malaysia pada hari ini. Pas telah mengambil kesempatan daripada kejahilan orang-orang miskin untok menjalankan taktik tipu helahnya, tetapi dosa mereka yang lebih besar lagi terhadap orang-orang mereka sendiri dan juga ke atas agama Islam, yang menjadi tunjang politik mereka, ialah perbuatan mereka membiarkan diri mereka digunakan oleh kuasa-kuasa lain untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.


(Petikan buku Sebelum dan Selepas 13 Mei karya Tunku terbitan 1969)