Saturday, April 5, 2008

Catatan Tunku Abdul Rahman

SEBELUM DAN SELEPAS 13 MEI: Dari Kacamata Tunku

Bahagian 1

Makin hari, makin ramai golongan muda yang melabelkan diri sendiri sebagai berpendidikan tinggi, "liberal", serta berfikiran bebas dan terbuka. Mereka cenderung melawan arus...kononnya atas kesedaran inginkan pembaharuan. Pembaharuan apa yang sering dilaung-laungkan itu? Sesetengah perkara tak pernah berubah walaupun telah berlalu hampir setengah abad nan lalu...yang bersalin kulit hanyalah penerapan slogan-slogan baru yang menjadi halwa telinga semata.

Sejarah takkan pernah menipu kita...sebab itu selang sekali-sekala, kita perlu meniti semula detik sejarah bagi menghayati perjuangan dan memahami keadaan sebenar pada masa dahulu.

Di sini diperturunkan (tanpa sebarang suntingan) semula sebahagian catatan dari bapa kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengenai peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang merundung kesedihan dan dukacita pada seluruh rakyat Malaysia.

Petikan yang diambil hanya berkisar mengenai pandangan peribadi Tunku terhadap PAS. Pandangan ini tidak boleh diambil mudah memandangkan ia disuarakan sendiri oleh tokoh yang amatlah berjasa dalam pembinaan negara kita, merangkap bapa kemerdekaan kita yang terulung.

Moga sama-sama dapat kita ambil iktibar dan pegajaran dari segala apa yang telah berlaku…

Sebelum dan Selepas 13 Mei

Di antara parti-parti pembangkang, Pas adalah parti yang tertua. Dalam pilihan raya yang pertama, iaitu semasa pemerintahan British dalam tahun 1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingkan, dan seuah kerusi telah dimenangi oleh ahli PAS dari Perak.

Allahyarham Dato’ Onn dengan secara tidak langsong adalah bertanggungjawab melahirkan Pas semasa beliau menjadi Yang Dipertua Agung UMNO. Ketika itu dalam UMNO terdapat sebuah jawatankuasa agama yang mempunyai tujuan untok menasehatkan UMNO dalam hal ehwal agama.

Apabila Dato’ Onn meninggalakan UMNO, ahli-ahli jawatankuasa agama itu kemudiannya telah menukarkan corak agama kapada politik supaya dapat bertanding dalam pilihan raya. Langkah itu telah menyebabkan pecahnya kekuatan orang Melayu. Dengan itu muncullah Pas dalam gelanggang politik tanah air kita. Mereka melancarkan gerakan dengan menggunakan agama semata-m,ata kerana pada keseluruhannya orang Melayu berpegang kuat kepada agama Islam. Pada permulaan-nya, parti itu tidak mendapat sambutan yang besar tetapi lama kelamaan mereka telah berjaya mendapat pengikut yang lebeh ramai, terutama di Kelantan di mana Perikatan memegang kuasa semasa merdeka dahulu.

Dengan kejayaan mereka mendapat penyokong yang besar bilangannya, maka mereka telah mengalahkan Perikatan di Kelantan semasa pilihan raya 1959 dan juga di-Trengganu, dan telah dapat menubohkan kerajaan di kedua-dua negeri itu. Sungguhpun bwgitu, pada 1962 kerajaan mereka di Trengganu telah dijatohkan oleh Perikatan setelah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat parti itu melompat masuk Perikatan. Dengan itu tinggallah Pas di Kelantan sahaja yang memegang kuasa kerajaan negeri sementara Perikatan berkuasa di kesemua negeri lain.

Pas tidak pernah mempunyai sebarang tujuan atau rancangan yang tertentu. Mereka bergantung semata-mata kapada isu agama Islam untuk mendapatkan sokongan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan untok menggubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang patut dibuat oleh sesebuah parti politik. Pada satu ketika, seorang ahli wanita Pas, Che’ Khatijah Sidek, yang menjadi ahli Parlimen, telah mengugut hendak keluar dari Pas jika parti itu tidak dapat menyusun satu dasar ekonomi yang tersendiri dalam tempoh enam bulan. Desakan ini tidak menghasilkan sebarang natijah, dan selepas dari itu Che’ Khatijah telah keluar dari gelanggang politik. Pas terus berjalan dengan dasar keagamaannya yang sempit dengan tidak mengubahkan coraknya sehingga hari ini, bahkan menambahkan lagi soal-soal perkauman yang sempit.

Mereka berkata, Tunku telah menjual Singapura kapada orang China dan kemudiannya akan menjual Malaysia pula. Apa yang sangat mengecewakan ialah orang ramai percaya dengan tuduhan itu.

PAS telah cuba hendak meluaskan pengaruhnya keluar dari Kelantan ke negeri Kedah dan Perak dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di negeri-negeri itu, tetapi mereka telah gagal. Saya diberitahu soal-soal agama tidak begitu menolong parti itu di negeri-negeri Pantai Barat, kerana orang-orang di situ lebih luas pandangannya dan lebeh menghormati hak-hak orang lain untuk memilih agama masing-masing. Mereka lebeh progresif atau lebeh maju dalam cara pemikiran berbanding pandangan sempit orang Kelantan.

Dalam pilihan raya 1969 pula, Pas telah mengubah taktiknya dengan melancarkan kempen mencemarkan nama baik UMNO dengan mempermain-mainkan sentimen bangsa sehebat-hebatnya supaya timbul rasa benci orang ramai kapada parti itu. Cara itu telah memberi kejayaan yang besar kapada mereka. Mereka menuduh UMNO pro-Cina dan menjual negara kapada orang Cina. Mereka telah menggunakan cara yang tajam dan halus dalam kempen anti-Cina yang mereka lancarkan di kawasan luar bandar di negeri-negeri Utara Pantai Barat. Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama bahawa orang Cina hendak memegang kuasa seluruh negara dan menuduh saya telah memberi peluang itu kapada orang Cina.

Untuk menjadi bukti kapada dakwaan mereka, maka mereka telah menyebar ke seluruh kampong gambar Khir Johari, seorang Menteri Kabinet dan isterinya memakai pakaian orang Cina Mandarin. Gambar itu telah diambil di Hongkong secara bersuka-suka untuk dihantar kapada kawan-kawannya sebagai ucapan Selamat Tahun Baru. Pakaian ini ada disediakan di restoran untok pelancong menggunakannya bagi mengambil gambar sebagai tanda ingatan lawatan mereka ke Hongkong.

Khir Johari ialah seorang yang suka melawak, dia dan isterinya telah menggunakan gambar ini untuk kad Selamat Tahun Baharu Cina yang telah mereka kirimkan kepada kawan-kawan Cina mereka dalam bulan Februari sebagai menunjukkan rasa muhibah. Masing-masing yang menerima-nya telah gelak ketawa melihat gambar itu. Pas segera mengambil kesempatan menggunakan gambar ini sebagai satu senjata untuk kepentingan politik mereka. Gambar ini telah diedarkan seluas-luasnya di kalangan orang Melayu sambil memburuk-burukkan Khir dan menuduh dia telah menjadi orang Cina. Kasihan Khir! Tujuannya hendak berjenaka itu telah merugikan dirinya dan dia telah kehilangan banyak undi dalam pilihan raya itu.

Ini satu sahaja contoh yang menunjukkan sejauh mana pihak Pas sanggup melakukan perbuatan kotor dan tipu helah untok mencari kemenangan dalam politik. Perbuatan mereka sangatlah khianat dan liar. Inilah satu penipuan yang sehabis busuk yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.


(Petikan buku Sebelum dan Selepas 13 Mei karya Tunku terbitan 1969)