Monday, May 26, 2008

Dari Bukit Kayu Hitam ke Pulau Batu Putih...

Petang Jumaat lepas, aku turun ke bilik TV buat pertama kali sejak menginap di Cahaya Gemilang untuk menonton siaran langsung pengumuman keputusan tuntutan bertindih Pulau Batu Putih antara Malaysia dan Singapura.

Aku mulanya turun pukul 4...tapi kerana ada individu yang menonton Telenovela, terpaksa aku tangguhkan niat...dan hanya kembali turun jam 5.

Dalam fikiran aku, cuma ada satu perkara...ingin mendengar sendiri pengumuman yang dikatakan bakal berpihak pada Malaysia dalam isu berkaitan pulau yang diberitakan hanya seluas separuh padang bola sepak.

Jauh dalam sudut hati aku, aku harap keputusan betul-betul akan memihak bagi pihak Malaysia. Biarlah tanah tumpah darah aku Malaysia yang tersayang ini menganjur dari Bukit Kayu Hitam di utara merentas ke Pulau Batu Putih di selatan.

(Bukit Kayu Hitam dan Pulau Batu Putih seperti saudara kembar yang berjauhan...juga bertentangan arah dan maksud. Satu di utara satu di selatan...juga perkataan Bukit-Pulau, Kayu-Batu, Hitam-Putih)

Jika dua kawasan ini dapat disatukan dibawah peta Malaysia, alangkah baiknya....

Aku tekun mendengar keputusan penghakiman yang dibacakan...walaupun kertas penghakiman kelihatan agak tebal, dan ungkapan Inggeris hakim (Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh) yang berkenaan agak pelik dan mengelirukan.

Setelah berlalu satu jam...masih tiada sebarang keputusan muktamad diumumkan.

Aku cukup kagum dengan barisan hakim dan peguam yang hadir dalam dewan sewaktu penghakiman dibacakan. Semuanya kelihatan cergas dan bertenaga walaupun penghakiman lisan berjalan hampir melewati dua jam.

Namun semakin lama, makin jelas bentuk kehakiman yang bakal diumumkan...dan rasa agak kurang senang mula timbul dalam hati aku.

Akhirnya, aku dapat menangkap lafaz (walaupun agak kabur) keputusan berpihak 12-4 kepada Singapura...manakala Pulau Middle Rock adalah milik Malaysia dengan majoriti 15-1.

South Ledge pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia terletak, bergantung kepada persempadan semula yang bakal dijalankan oleh Malaysia-Singapura.

Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim sejurus kemudian menyatakan keputusan itu adalah merupakan keputusan menang-menang...aku terima pendapat Dr Rais Yatim tersebut memandangkan beliau bukanlah sebarangan orang.

Tetapi jauh di sudut hati, hati rakyat Malaysia mana yang tidak tersentuh kala mendengar sendiri keputusan tersebut secara langsung?

Pulau tersebut pernah bernaung di bawah Kesultanan Melayu Johor...Singapura sendiri satu ketika dahulu adalah sebahagian dari Tanah Melayu.

Pada aku, sebagaimana England (English land) dan juga Thailand (Thai land), Malaysia sepatutnya dinamakan Malayland (ataupun pengekalan istilah Tanah Melayu yang membawa maksud yang sama)

Tapi, itu cerita lain...apa yang berlaku sekarang, kita telah kehilangan kedaulatan terhadap Pulau Batu Putih. Pulau yang satu ketika dahulu pernah bernaung di bawah kawalan dan kedaulatan Malaysia.

Harapnya tiada lagi pulau atau daratan kita yang bakal berpindah milik sebagaimana peristiwa yang melanda Pulau Batu Putih. Biarlah Pulau Batu Putih menjadi sejarah, dan harapnya sejarah yang terakhir...