Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Saturday, July 19, 2008

Islam milik siapa?

Pada 1 Mei 1999, semasa berceramah di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar Kelantan telah mengemukakan pandangan "boleh mencarut", berdasarkan hujah-hujah (secara rasionalnya) teknik dan penggunaan bahasa di dalam SHIT.

Ini menimbulkan reaksi yang agak kurang selesa pada sebilangan besar penduduk, sehinggakan Perdana Menteri pada ketika itu, Dato Seri Dr Mahathir bin Mohammad mengeluarkan kenyataan berikut di Jitra pada 19 Julai :

"Nik Aziz sepatutnya berhenti menjadi Menteri Besar Kelantan jika gagal membuktikan perkara itu" (ada dalam al-Quran bahawa Tuhan mencarut). Katanya lagi, "Saya sanggup tidak bertanding kalau Nik Aziz boleh tunjukkan perkataan itu dalam al-Quran".

Lujnah Penerangan dan Dakwah Perhubungan PAS Negeri Kelantan, pada 25 Julai 1999 telah menyiarkan transkrip ceramah tersebut bagi meyuraikan kekusutan yang telah wujud.

Dikhabarkan, kekeliruan timbul kerana media hanya menyiarkan sedutan ceramah tanpa mengambil isi penuh ceramah yang disampaikan oleh Dato’ Nik Abdul Aziz.

Antara Dalil dari Al-Quran yang membolehkan mencarut dan menyumpah menurut Dato’ Nik Aziz adalah seperti berikut (penjelasan Dato’ Nik Aziz di bawah terjemahan ayat pertama)

Surah Al-Baqarah ayat (18)

(maksudnya) “Mereka tuli, bisu dan buta (kerana tidak dapat menerima kebenaran, meskipun pancaindera mereka sihat), maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar)”

- (Hakikatnya) Allah Taala (kata ke)pada orang munafiq, orang yang muka-muka-orang yang kita panggil orang sekular. Tuhan kata apa, pekak, bisu, buta, orang ni tak ada otak. Kalau mengikut orang Kelantan (kita kata), “baso tak dok otak, baso tuli”. Itu tidak(kah) mencarut? Allah sendiri sebut begitu dalam Al Quran.

Surah Al-Munafiqun ayat (4)

(maksudnya) “Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum . Dan jika mereka berkata kamu mendengar perkataan mereka. Mereka adalah seumpama kayu-kayu yang tersandar (meskipun tubuh mereka nampaknya baik dan pandai pula berkata-kata, hakikatnya mereka pandai berbicara akan tetapi sebenarnya otak mereka adalah kosong tidak dapat memahami kebenaran – diumpamakan juga serupa orang mati dibunuh)”

Tak dapat dipastikan berapa ramai yang telah membaca dan memahami penjelasan yang diutarakan oleh Dato' Nik Aziz, memandangkan pada masa itu kemudahan internet baru mula hendak bertapak.

Pada tahun 2008, menjelang pilihanraya umum ke-12, Dato’ Nik Aziz sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan kontroversi.

Beliau telah menyamakan salah satu parti lawan sebagai "kumpulan yang tidak reti agama dan undang-undang macam orang utan"

Namun kali ini, para penyokong PAS dengan pantas mengemukakan ayat-ayat yang dipetik dari Quran bagi menyokong kenyataan Dato' Nik Aziz.

Surah Al-Baqarah ayat (65)

(maksudnya), “Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu (hari yang khusus untuk beribadat bagi orang-orang Yahudi), lalu Kami berfirman kepada mereka, Jadilah kamu kera yang hina”

Surah Al-A’araf ayat (179)

(maksudnya) “dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka yang mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah, yakni al-Quran) dan mereka mempunyai mata (tetapi tidak mempergunakan) untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah, peringatan yang benar). Mereka itu semua seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”

Dato' Nik Aziz merupakan seorang ulama' yang tinggi ilmu agamanya, hakikat yang perlu diakui oleh kalangan penyokong PAS mahupun UMNO. Hujah yang dibawa beliau adalah bersandarkan ilmu agama yang disandangnya. Dalil yang dipetik beliau dari Al-Quran untuk menjelaskan penyampaian hujahnya adalah berdasarkan kedalaman ilmu agamanya.

Hasil ledakan teknologi maklumat, sekarang amat mudah untuk menyebarkan buah fikiran, maklumat dan pandangan menerusi blog, laman web dan forum-forum yang aktif berbanding dekad yang lepas.

Seakan ingin mencontohi apa yang dilakukan oleh Tuan Guru mereka, ada kalangan penyokong PAS yang sewenang-wenangnya menggunakan ayat Al-Quran demi menegakkan hujah dan kenyataan mereka.

Apakah mereka benar-benar menguasai ilmu yang perlu untuk menafsir Al-Quran dalam usaha untuk dijadikan sumber pengemukaan dan pendirian hujah mereka?

Itu yang menjadi persoalan besar.

Di setiap sudut blog dan forum, seakan mendapat mandat dari kenyataan Tuan Guru, dan seolah-olah dilindungi imuniti parti yang dikatakan memperjuangkan Islam, mereka secara bebas menggunakan ayat-ayat dari Al-Quran untuk menegakkan hujah mereka. Maki hamun, cerca-mencerca dibolehkan jika dipayungi naungan parti Islam.

Walaupun hakikatnya kefahaman ayat Al-Quran yang disertakan hanya sekadar kefahaman kasar, bukannya kefahaman tersirat yang terkandung dalam setiap ayat-ayat tersebut.

Mungkin golongan ini merasakan mereka sudah setaraf Ulama' Besar...yang boleh memetik mana-mana ayat Al-Quran untuk disesuaikan dengan hujah yang ingin disampaikan. Setaraf mana ilmu yang mereka ada? Itu sangatlah diragui. Kerana sebahagian besar dari golongan ini hanyalah pelajar atau remaja yang masih belumpun habis menuntut.

Yang juga masih lagi hingusan, tetapi berkelakuan seolah-olah terlebih matang dan terlebih bijak serta terlebih berilmu agama berbanding orang lain.

Mereka hanya memetik sebahagian ayat Al-Quran dalam menegakkan hujah mereka, dan meninggalkan sebahagian yang lain. Dan acapkali mereka tidakpun faham konteks penggunaan ayat yang dipetik, tidak lebih dari hanya "copy and paste" terjemahan kasar tanpa mengira kefahaman sebenar dan situasi yang membolehkan ayat-ayat tersebut digunakan sebagai dalil hujah.Wallahualam.

Petikan ayat dari Al-Quran seperti kutukan ke atas Firaun digunakan sebagai modal menghentam dan mencaci orang yang tidak sehaluan dengan mereka. Hinggakan aku ada terbaca di satu forum, pendapat seorang forumner yang mengatakan takkan kita hendak menjadi lebih mulia dari Allah dengan tidak memaki hamun? (Kemungkinan besar terpengaruh dengan dakwaan Dato' Nik Aziz bahawa tuhan pun mencarut)

Hinggakan taraf manusia hendak disamakan dengan Allah! Kita hanyalah hamba yang kerdil, Allah adalah Tuhan sekalian alam. Tidak masuk akal hendak menyamakan kedudukan kita dengan Allah. Tetapi itulah realiti yang berlaku.

Dari pandangan Dato' Nik Aziz sendiri, memaki ada tempat dan keadaannya yang dibolehkan. Namun pengikut-pengikut tegar beliau sendiri tidak mengikut nasihat yang diberikan...semua yang berpandangan bertentangan dengan kefahaman mereka akan dimaki dan dikafirkan dengan seadanya.

Mungkin pada masa yang lain atau terkemudian, Dato' Nik Aziz perlu lebih berhati-hati dalam menyampaikan amanat dan didikan kepada khalayak terutama pengikut semborono PAS, supaya mereka tidaklah terkeliru.

Betapa ramai pengikut-pengikut taksub PAS yang merasakan mereka adalah jaguh Islam, tetapi pada masa yang sama kejahilan dan kedunguan mereka dalam berfikir dan berhujah memalukan agama Islam sendiri di mata orang-orang bukan Islam.

Dalam pada Muslim sesama Muslim bertengkar, anasir-anasir munafik / kafir sedikit demi sedikit menusukkan jarum-jarum halus mereka di celah-celah perdebatan.

Melalui Surah Ibrahim ayat (4) yang ditafsirkan seperti berikut

(maksudnya)"Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka Allah menyesatkan siapa yang Dia kehendaki, dan memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Dia-lah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"

Ditimbulkan persoalan kenapa orang Islam begitu risau dengan pengaruh agama lain? Sedangkan Allah sendiri menyesatkan orang, apakah kita hendak menjadi lebih mulia dari Allah dengan menghalang agama lain (yang bagi orang Islam adalah sesat) dari menyebarkan ajaran kepada kita?

Juga petikan ayat dari Surah Al- Ahzab (33)

(maksudnya)"Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah yang dulu"

Yang mempersoalkan kenapa golongan wanita keluar bekerja dan bersantai di luar sedangkan dalam Al-Quran menyuruh wanita hanya tinggal di dalam rumah? Apakah orang-orang Islam ingin menentang suruhan yang terkandung dalam Al-Quran?

Sangat jelas golongan yang ketiga ini mentafsirkan ayat Al-Quran menurut kefahaman sendiri. Tetapi jika di kalangan orang mukmin sendiri mentafsirkan ayat Al-Quran menurut kemahuan sendiri, apa yang boleh dipersalahkan pada golongan munafik / kafir tersebut? Kita sendiri membuka ruang untuk mereka mempergunakan ayat-ayat suci Al-Quran untuk menyerang agama Islam yang kita sayangi...tiada lain hanyalah orang Islam sendiri yang perlu dipersalahkan.

Orang-orang kafir yang ingin menyebarkan dakyah mereka kepada orang Islam adalah sangat bijak...mereka tidak sekali-kali akan menggunakan ayat-ayat yang dipetik dari kitab mereka untuk mempengaruhi kita. Kerana mereka tahu kita tidak akan sekali-kali percaya apa yang terkandung di dalam kitab pegangan mereka.

Mereka sangat memahami orang Islam amat menyanjungi Al-Quran. Mereka akan mengelirukan pemikiran orang-orang Islam dengan menimbulkan keraguan dari ayat-ayat yang bersumber dari kitab suci Al-Quran sendiri.

Agama Islam pernah mencapai zaman kegemilangan beberapa kurun yang lepas...hasil daripada ketekunan dan kerajinan Ulama' dan Sarjana Islam silam meneroka dan mengkaji ilmu-ilmu seperti astronomi, matematik, kimia, fizik, serta pelayaran. Namun Islam mulai menuju zaman kegelapan kala generasi yang terkemudian gagal meneruskan pencapaian sarjana yang sebelum mereka.

Mereka meninggalkan hasil kerja tekun generasi sebelumnya...dan hanya berminat untuk mengkaji ilmu agama. Ditambah dengan pelbagai interpretasi berlainan, agama Islam makin jauh ketinggalan. Pelbagai tafsiran agama muncul, yang kebanyakannya hanyalah ditafsir dari sudut kepentingan diri sendiri, menyebabkan orang-orang Islam makin mundur dan jauh ketinggalan.

Di Malaysia, ada kecenderungan untuk menjadikan Islam sebagai milik eksklusif segolongan tertentu. Sesiapa yang tidak menganggotai atau menjadi jemaah golongan ini secara halus dibayangkan sebagai tidak cukup sempurna Islamnya. Pengertian dan pemahaman Islam dari sudut pemikiran mereka sahaja yang betul...dan sekiranya lain dari garis pemikiran mereka, adalah salah dan kemungkinan dilabelkan sebagai munafik atau sesat.

Tetapi jika golongan ini sendiri melakukan sepertimana apa yang dikritik oleh mereka sebelum ini, ia dibolehkan pula. Sangat pelik...tetapi mungkin kerana mereka bernaung di bawah nama parti Islam, ia dibolehkan. Nama parti Islam dianggap selimut suci bagi sesetengah pengikutnya untuk sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum pada orang lain.

Di barat, pengikut agama Islam dipecahkan kepada fundamentalis, moderate dan ekstremis. Acapkali pengamal fundamentalis Islam disamakan dengan ekstremis Islam, yang menyebabkan keluarnya ungkapan seperti

"Islamist fundamentalist is wrong and dangerous because the fundamental of Islam itself is wrong and dangerous"

Ini juga antara pencetus filem “Fitna” terbitan seorang menteri dari Belanda baru-baru ini, yang membayangkan ayat-ayat Al-Quran sebagai asas mengajar pengikutnya mencetuskan keganasan.

Tiada apa yang salah dengan asas-asas yang membina agama Islam, cuma cara sesetengah dari orang Islam menterjemah pengertian dan ajaran Islam yang memungkinkan wujudnya pelbagai tafsiran salah mengenai pengertian Islam sebenar.

Tidak ada pecahan ungkapan 'Islam moderate' dalam pengertian agama Islam, kerana agama Islam itu sendiri sudah 'moderate'.Yang ada hanyalah Islam fundamentalis yang berpegang pada asas-asas Islam sebenar, juga Islam ekstremis yang menterjemahkan Islam secara ekstrem. Kini muncul juga golongan-golongan baru seperti Islam liberal, yang jika dibiarkan berkembang, akan lebih mengelirukan pengertian Islam yang sebenar.

Islam adalah milik kita semua. Perbezaan pendapat dalam Islam sepatutnya menguatkan kita dan mengajak kita lebih berfikir dalam memahami dan mendalami Islam, tetapi sebaliknya yang berlaku. Kita semakin lemah, berpecah serta berpuak-puak dan jauh ketinggalan berbanding yang lain. Jika kita dapat kembali bersatu dalam pengertian Islam sebenar, tidak mustahil kita akan mampu mengulangi pencapaian empayar-empayar Islam yang terdahulu, mengulangi zaman keagungan Islam yang silam...

Monday, April 21, 2008

Catatan Tunku Abdul Rahman

SEBELUM DAN SELEPAS 13 MEI : Dari Kacamata Tunku

Bahagian 2

Misalnya Pas telah menyebarkan fitnah dengan mengatakan saya seorang Siam, pada hal mereka tahu ayah saya ialah Almarhum Sultan Kedah. Mereka juga menuduh saya beragama Buddha, walhal mereka tahu banyak perkara kebajikan yang telah saya buat untuk agama Islam semenjak lepas Merdeka. Saya bukanlah seorang yang takbur, tetapi saya boleh mendakwa bahawa jasa saya kapada agama Islam adalah setanding dengan yang dibuat oleh mana-mana pemimpin negara Islam yang lain di zaman moden ini.

Dalam kempen pilihan rayanya, Pas telah memburokkan peribadi pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka telah menyerang peribadi pemimpin UMNO secara kotor yang tidak mungkin sesapa pun tergamak melakukannya. Mereka tahu apa yang mereka katakan mengenai pemimpin UMNO termasu saya sendiri tidaklah benar, tetapi mereka pergi dari kampug ke kampung untuk melancarkan kempen yang bohong dengan tidak menghiraukan apa jua akibatnya atau pun apa yang mereka lakukan itu boleh memarakkan api permusuhan antara kaum. Mereka tidak peduli apa yang akan terjadi asalkan mereka dapat menang kerusi dengan apa jua cara sakalipun.

Saya sendiri telah cuba untuk mendapatkan gambar yang telah ditunjukkan oleh Pas kepada orang ramai di kawasan pilihan raya saya. Gambar itu kononnya menunjukkan saya menggunakan chopstick di satu majlis makan Cina. Dengan secara tipu mereka telah meletakkan satu gambar lain ke atas gambar yang tersebut yang menunjokkan seekor anak babi terhidang di tengah-tengah meja di majlis itu. Saya berani bersumpah bahawa seumor hidup saya, saya tidaklah pernah menghadziri majlis jamuan makan Cina yang ada menghidangkan daging babi, atau pun apa jua makanan lain yang haram bagi orang Islam. Kawan-kawan Cina saya sentiasa menjaga supaya kejadian seperti ini tidak berlaku, kerana mereka sendiri tahu apa yang haram dimakan oleh orang Islam.

Tuduhan yang mengatakan saya bukan Islam adalah satu fitnah yang sangat kotor kerana mereka sendiri tahu bahawa saya telah pergi ke Mekah untok menunaikan fardu haji, dan mereka juga tahu bahawa saya anak kapada seorang yang warak dan lebai. Saya percaya orang-orang yang akan membaca kandungan buku ini akan terperanjat dengan perbuatan sebuah parti politik seperti Pasyang sanggup meletakkan dirinya begitu rendah untuk mencari kemenangan.

Sekalipun saya seorang yang kuat berpegang kapada ajaran Islam, tetapi sebagai Perdana Menteri saya telah menerima banyak jemputan ke majils sosial dan sebagainya, dan telah menikmati makanan Eropah, makanan Cina atau makanan India. Saya telah merasmikan pembukaan tempat-tempat ibadat bagi orang-orang yang beragama lain, dan saya juga telah mengarahkan supaya wang diberi untok membina tempat-tempat ibadat bagi agama-agama lain di Malaysia.

Wang yang diperoleh adalah daripada orang-orang yang berbagai-bagai-bagai agama, dan dengan itu patutlah diberikan juga wang untuk tempat ibadat mereka. Saya masih ingat lagi bagaimana orang-orang daripada pelbagai agama telah menghulurkan derma yang berjumlah berjuta-juta ringgit ketika saya melancarkan derma untok membina Masjid Negara.

Kesemua orang dalam negara telah memberi sumbangan mereka kapada kekayaan negara dan dengan wang ini dapatlah kita membuat bermacam perkara yang memberi manafaat kepada orang Islam, seperti membina masjid, surau dan sekolah agama. Begitu juga untuk mengadakan perayaan agama. Semua perkara ini dilakukan untuk kepentingan agama Islam, agama rasmi kita.

Orang-orang bukan Melayu tidak pernah menimbulkan bangkangan terhadap apa yang telah dibuat dan sedang diusahakan oleh Kerajaan untuk agama Islam. Mereka juga tidak pernah menyoal berapa banyak wang yang telah dikeluarkan untok mengembangkan Islam. Saya berani berkata dengan tegas bahawa Kerajaan Perikatan telah membuat lebih banyak kebajikan untuk Islam daripada yang boleh dibuat oleh Pas, sekalipun dalam negeri pemerintahan mereka sendiri.

Saya telah memberi beberapa contoh di atas mengenai kelakuan khianat yang dilakukan oleh Pas, tetapi masih banyak lagi dakayah bohong dan fitnah yang terlampau kebudak-budakan dan terlalu menyentuh peribadi untuk saya catatkan di dalam buku ini. Kalau sekalipun saya menulisnya, tidak ada siapa yang akan percaya.

Orang-orang yang mempunyai fikiran tidak dapat memahami perbuatan Pas semasa pilihan raya itu. Sesiapa yang kasih kapada negara tentu tidak dapat bersetuju dengan kelakuan mereka. Dalam pilihan raya itu satu perkara ganjil tetapi benar telah dilakukan oleh Pas.
Jika benar sebagaimana yang mereka katakan bahawa mereka anti-China, kenapa-kah pula mereka bersubahat dengan DAP, Gerakan dan PPP?

Tujuan Pas nyatalah untuk memecahkan undi Melayu supaya calon-calon Perikatan yang bertanding di beberapa kawasan tertentu tidak akan menang, dan pakatan mereka yang jahat ini telah berjaya. Mereka meletakkan calon-calon mereka di kawasan-kawasan di mana pengundi Melayu tidak pun mencukupi untok menjayakan seseorang calon Pas dan dalam sesetengah kawasan pula mereka mungkin hilang wang pertaruhan sekalipun mereka berjaya mendapatkan kesemua undi Melayu di kawasan itu. Dengan perbuatan mereka berpakat dengan partiparti pembangkang yang anti-Melayu, Pas telah membuktikan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mendapatkan keuntungan dalam politik.

Jika begitulah sikap mereka, lebeh baiklah mereka menolong MCA, iaitu sebuah parti yang sentiasa mempunyai pandangan Malaysia dan telah membuktikan taat setianya kapada negara ini. Tetapi sebalik, di mana-mana MCA bertanding melawan calon dari parti yang anti-Melayu, Pas juga akan masuk dalam kawasan itu untok menghalang orang Melayu daripada mengundi calon MCA, atau sekurang-kurangnya memecahkan undi se-hingga calon Perikatan itu kalah dalam pertandingan tiga penjuru, samalah seperti yang mereka lakukan di kawasan di mana calon UMNO bertanding.

Saya suka menunjokkan dua kejadian yang membuktikan mereka telah menolong partiparti anti-Melayu. Di kawasan Setapak, Selangor, seorang yang saya tidak suka hendak sebutkan namanya telah kelihatan memberi wang kapada seorang ahli Pas. Orang ini ialah ahli DAP. Dalam kawasan Sepang, juga dii Selangor, calon-calon DAP dan Pas telah melancarkan kerja mereka dari sebuah pejabat, dan pekerja-pekerja DAP yang terdiri daripada orang Cina telah menampalkan poster untok calon Pas. Bukti ini cukuplah untuk menafikan dakwaan Pas bahawa mereka sebuah parti Melayu yang berdasar Islam. Mereka sanggup menghina agama untuk kepentingan politik dan wang.

Mereka berjanji akan menubuhkan sebuah negara atau kerajaan Islam jika mereka memegang kuasa. Tetapi mereka tidak pula menerangkan rupa dan bentuk kerajaan yang mereka angan-angankan itu. Kita dapat meragui sama ada mereka akan memenuhi janji mereka jika mereka berkuasa kelak.

Pas sedar bahawa mereka tidak ada harapan untuk mengambil kuasa negara ini dan kemungkinan yang seperti ini belumlah lagi terbayang. Dengan kesedaran yang seperti ini, maka mereka boleh melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membuat janji-janji palsu untuk menyedapkan telinga orang Melayu yang jahil tentang hal ehwal dunia. Tentulah banyak orang Melayu yang tertarik dengan janji hendak menubuhkan sebuah Kerajaan yang tidak berchampor dengan kaum-kaum lain.
Orang Melayu tentu-lah sangat tertarik dengan kemungkinan negara ini dikendalikan oleh orang Melayu sahaja kerana inilah negara tumpah darah mereka.

Dalam masa berkurun-kurun lamanya, dari satu keturunan ka satu keturunan, Malaysia telah diperintah oleh kuasa-kuasa asing _ Belanda, Siam, British dan Jepun. Oleh itu, kemungkinan negara ini di-perentah oleh orang Cina tentulah sangat dibenci oleh orang Melayu, kerana persetujuan telah dichapai semasa Merdeka dahulu bahawa Malaysia mestilah mempunyai keperibadian dan corak kebangsaan yang berteraskan Melayu. Beberapa perkara hak orang Melayu dijamin dalam Perlembagaan.
Menurut apa yang di-katakan oleh Pas, semua hak ini akan hilang kiranya Perikatan menang.

Sementara itu, lain-lain parti pembangkang bertalu-talu pula menggembur-gemburkan konsep Malaysian Malaysia, dan ini mengurangkan sokongan orang ramai kepada MIC dan MCA dan menambahkan lagi kecurigaan orang Melayu. Oleh itu, konsep Malaysia untok orang Melayu sahaja yang ditonjolkan oleh PAS lebih senang mendapat sokongan orang Melayu. Sebagaimana kebanyakan orang China menyokong konsep Malaysian Malaysia yang dianjorkan oleh Lee Kuan Yew, maka begitulah juga orang Melayu menyokong cita-cita ini. Dengan cara itu, kedua-dua pendapat cauvinis yang tersebut telah saling menolong.

Langkah Pas menolong atau menggunakan parti-parti pembangkang yang pro-Cina dan parti-parti lain yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang diketahui anti-Melayu, dan mengemukakan pendapat yang melampau itu tentulah ada sebab yang tertentu. Tindakan mereka sangatlah berbahaya seperti bom atau torpedo yang telah di-tentukan masa meletup-nya.

Sebuah akhbar Hongkong bernama ”The Star” telah melaporkan pada 17 Jun bahawa Bank of China di Singapura telah tidak dapat mengimbangkan kira-kira kewangannya kerana beberapa jumlah wang yang besar telah dikeluarkan ”untok membiayai gerakan kekacauan di Singapura dan Malaysia”. Ada keterangan yang menunjukkan bahawa wang itu telah diberi kapada beberapa pihak yang tertentu di Kelantan untuk membiayai perbelanjaan kempen Pas. Terang dan jelaslah bahawa orang Melayu yang menyokong Pas tidak terdaya hendak mengeluarkan berjuta-juta ringgit untok pilihan raya itu. Wang itu tentulah datang dari satu punca tertentu, dan saya suka menegaskan bahawa punca itu bukan diketahui oleh Parti Pas sahaja.

Sekiranya Pas telah menerima bantuan wang daripada Komunis, maka berertilah pemimpin-pemimpin parti itu telah memperdaya dan mempermainkan orang-orang mereka sendiri. Kebanyakan daripada soaln agama yang dibangkitkan oleh Pas itu tidak selaras dengan fahaman Islam zaman tamadun dan bertentangan dengan keadaan yang terdapat di sekitar Malaysia pada hari ini. Pas telah mengambil kesempatan daripada kejahilan orang-orang miskin untok menjalankan taktik tipu helahnya, tetapi dosa mereka yang lebih besar lagi terhadap orang-orang mereka sendiri dan juga ke atas agama Islam, yang menjadi tunjang politik mereka, ialah perbuatan mereka membiarkan diri mereka digunakan oleh kuasa-kuasa lain untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.


(Petikan buku Sebelum dan Selepas 13 Mei karya Tunku terbitan 1969)

Saturday, April 5, 2008

Catatan Tunku Abdul Rahman

SEBELUM DAN SELEPAS 13 MEI: Dari Kacamata Tunku

Bahagian 1

Makin hari, makin ramai golongan muda yang melabelkan diri sendiri sebagai berpendidikan tinggi, "liberal", serta berfikiran bebas dan terbuka. Mereka cenderung melawan arus...kononnya atas kesedaran inginkan pembaharuan. Pembaharuan apa yang sering dilaung-laungkan itu? Sesetengah perkara tak pernah berubah walaupun telah berlalu hampir setengah abad nan lalu...yang bersalin kulit hanyalah penerapan slogan-slogan baru yang menjadi halwa telinga semata.

Sejarah takkan pernah menipu kita...sebab itu selang sekali-sekala, kita perlu meniti semula detik sejarah bagi menghayati perjuangan dan memahami keadaan sebenar pada masa dahulu.

Di sini diperturunkan (tanpa sebarang suntingan) semula sebahagian catatan dari bapa kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengenai peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang merundung kesedihan dan dukacita pada seluruh rakyat Malaysia.

Petikan yang diambil hanya berkisar mengenai pandangan peribadi Tunku terhadap PAS. Pandangan ini tidak boleh diambil mudah memandangkan ia disuarakan sendiri oleh tokoh yang amatlah berjasa dalam pembinaan negara kita, merangkap bapa kemerdekaan kita yang terulung.

Moga sama-sama dapat kita ambil iktibar dan pegajaran dari segala apa yang telah berlaku…

Sebelum dan Selepas 13 Mei

Di antara parti-parti pembangkang, Pas adalah parti yang tertua. Dalam pilihan raya yang pertama, iaitu semasa pemerintahan British dalam tahun 1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingkan, dan seuah kerusi telah dimenangi oleh ahli PAS dari Perak.

Allahyarham Dato’ Onn dengan secara tidak langsong adalah bertanggungjawab melahirkan Pas semasa beliau menjadi Yang Dipertua Agung UMNO. Ketika itu dalam UMNO terdapat sebuah jawatankuasa agama yang mempunyai tujuan untok menasehatkan UMNO dalam hal ehwal agama.

Apabila Dato’ Onn meninggalakan UMNO, ahli-ahli jawatankuasa agama itu kemudiannya telah menukarkan corak agama kapada politik supaya dapat bertanding dalam pilihan raya. Langkah itu telah menyebabkan pecahnya kekuatan orang Melayu. Dengan itu muncullah Pas dalam gelanggang politik tanah air kita. Mereka melancarkan gerakan dengan menggunakan agama semata-m,ata kerana pada keseluruhannya orang Melayu berpegang kuat kepada agama Islam. Pada permulaan-nya, parti itu tidak mendapat sambutan yang besar tetapi lama kelamaan mereka telah berjaya mendapat pengikut yang lebeh ramai, terutama di Kelantan di mana Perikatan memegang kuasa semasa merdeka dahulu.

Dengan kejayaan mereka mendapat penyokong yang besar bilangannya, maka mereka telah mengalahkan Perikatan di Kelantan semasa pilihan raya 1959 dan juga di-Trengganu, dan telah dapat menubohkan kerajaan di kedua-dua negeri itu. Sungguhpun bwgitu, pada 1962 kerajaan mereka di Trengganu telah dijatohkan oleh Perikatan setelah beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat parti itu melompat masuk Perikatan. Dengan itu tinggallah Pas di Kelantan sahaja yang memegang kuasa kerajaan negeri sementara Perikatan berkuasa di kesemua negeri lain.

Pas tidak pernah mempunyai sebarang tujuan atau rancangan yang tertentu. Mereka bergantung semata-mata kapada isu agama Islam untuk mendapatkan sokongan. Mereka tidak mempunyai pengetahuan untok menggubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang patut dibuat oleh sesebuah parti politik. Pada satu ketika, seorang ahli wanita Pas, Che’ Khatijah Sidek, yang menjadi ahli Parlimen, telah mengugut hendak keluar dari Pas jika parti itu tidak dapat menyusun satu dasar ekonomi yang tersendiri dalam tempoh enam bulan. Desakan ini tidak menghasilkan sebarang natijah, dan selepas dari itu Che’ Khatijah telah keluar dari gelanggang politik. Pas terus berjalan dengan dasar keagamaannya yang sempit dengan tidak mengubahkan coraknya sehingga hari ini, bahkan menambahkan lagi soal-soal perkauman yang sempit.

Mereka berkata, Tunku telah menjual Singapura kapada orang China dan kemudiannya akan menjual Malaysia pula. Apa yang sangat mengecewakan ialah orang ramai percaya dengan tuduhan itu.

PAS telah cuba hendak meluaskan pengaruhnya keluar dari Kelantan ke negeri Kedah dan Perak dengan mengambil bahagian dalam pilihan raya kecil di negeri-negeri itu, tetapi mereka telah gagal. Saya diberitahu soal-soal agama tidak begitu menolong parti itu di negeri-negeri Pantai Barat, kerana orang-orang di situ lebih luas pandangannya dan lebeh menghormati hak-hak orang lain untuk memilih agama masing-masing. Mereka lebeh progresif atau lebeh maju dalam cara pemikiran berbanding pandangan sempit orang Kelantan.

Dalam pilihan raya 1969 pula, Pas telah mengubah taktiknya dengan melancarkan kempen mencemarkan nama baik UMNO dengan mempermain-mainkan sentimen bangsa sehebat-hebatnya supaya timbul rasa benci orang ramai kapada parti itu. Cara itu telah memberi kejayaan yang besar kapada mereka. Mereka menuduh UMNO pro-Cina dan menjual negara kapada orang Cina. Mereka telah menggunakan cara yang tajam dan halus dalam kempen anti-Cina yang mereka lancarkan di kawasan luar bandar di negeri-negeri Utara Pantai Barat. Mereka menanamkan perasaan takut dan curiga di hati orang Melayu yang memang berhati bersih dan berpegang kuat kepada agama bahawa orang Cina hendak memegang kuasa seluruh negara dan menuduh saya telah memberi peluang itu kapada orang Cina.

Untuk menjadi bukti kapada dakwaan mereka, maka mereka telah menyebar ke seluruh kampong gambar Khir Johari, seorang Menteri Kabinet dan isterinya memakai pakaian orang Cina Mandarin. Gambar itu telah diambil di Hongkong secara bersuka-suka untuk dihantar kapada kawan-kawannya sebagai ucapan Selamat Tahun Baru. Pakaian ini ada disediakan di restoran untok pelancong menggunakannya bagi mengambil gambar sebagai tanda ingatan lawatan mereka ke Hongkong.

Khir Johari ialah seorang yang suka melawak, dia dan isterinya telah menggunakan gambar ini untuk kad Selamat Tahun Baharu Cina yang telah mereka kirimkan kepada kawan-kawan Cina mereka dalam bulan Februari sebagai menunjukkan rasa muhibah. Masing-masing yang menerima-nya telah gelak ketawa melihat gambar itu. Pas segera mengambil kesempatan menggunakan gambar ini sebagai satu senjata untuk kepentingan politik mereka. Gambar ini telah diedarkan seluas-luasnya di kalangan orang Melayu sambil memburuk-burukkan Khir dan menuduh dia telah menjadi orang Cina. Kasihan Khir! Tujuannya hendak berjenaka itu telah merugikan dirinya dan dia telah kehilangan banyak undi dalam pilihan raya itu.

Ini satu sahaja contoh yang menunjukkan sejauh mana pihak Pas sanggup melakukan perbuatan kotor dan tipu helah untok mencari kemenangan dalam politik. Perbuatan mereka sangatlah khianat dan liar. Inilah satu penipuan yang sehabis busuk yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia.


(Petikan buku Sebelum dan Selepas 13 Mei karya Tunku terbitan 1969)